KULIM: Raut wajah Muhamad Adib Irfan Halimin tenang ketika menunggu giliran untuk dikhatankan secara beramai-ramai pada usianya yang baru mencecah tujuh tahun.
Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Ular itu langsung tidak menampakkan wajah gelisah, apatah lagi takut seperti kebiasaan kanak-kanak seusianya yang lain.
Muhamad Adib Irfan berkata, dia sudah lama bersedia untuk berkhatan setelah ada rakan-rakannya melaksanakan proses itu pada cuti sekolah, Disember lalu.
“Saya tidak takut untuk bersunat sebab selepas ini boleh selalu pergi ke masjid untuk solat berjemaah dan boleh duduk di saf hadapan bersama ayah.
“Kawan-kawan kata ketika bersunat tidak sakit sangat, cuma bila selesai proses itu akan terasa sakit sedikit selepas ubat kebas mulai hilang kesan,” katanya ketika ditemui pada majlis anjuran Masjid Abdul Rahman Putra, Kampung Keladi di sini, semalam.
Sementara itu, bapanya, Halimin Abd. Aziz, 43, berkata, dia memilih program berkhatan secara beramai-ramai bagi mengurangkan perasaan takut anaknya.
“Dia memang sudah lama cakap nak bersunat tetapi saya tunggu cuti sekolah kali ini yang lebih lama dan kebetulan ada program berkhatan beramai-ramai,” katanya.
Timbalan Pengerusi Masjid Abdul Rahman Putra, Derani Wahab berkata, program tersebut adalah aktiviti tahunan anjuran pengurusan masjid berkenaan untuk ahli kariah di kawasan itu.
Katanya, seramai 14 orang kanak-kanak menyertai program itu kali berbanding pada Disember lalu yang menyaksikan seramai 30 kanak-kanak terlibat.
Tambahnya, kos berkhatan dianggarkan mencecah RM70 hingga RM100 seorang ketika ini dan program tersebut dapat mengurangkan bebanan sesetengah ibu bapa yang tidak berkemampuan. – UTUSAN










