Pengadil liga bola sepak perlu guna budi bicara atas padang

Pengadil liga bola sepak perlu guna budi bicara atas padang

PENAMATAN kontrak Yazan Al-Arab akibat tindakannya yang menendang pengadil dalam perlawanan Piala Malaysia pada 24 September lalu dikatakan berpunca dari cara pengadilan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA yang merupakan salah seorang peminat tegar Kim Pan Gon dan Harimau Malaya terfikir tindakan seorang pengadil dan Jawatankuasa panel Juri Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mengenakan hukuman berat terhadap pemain import pasukan Selangor FC, Yazan Al-Arab agak tidak masuk akal memandangkan kesalahan yang dilakukannya hampir pada waktu tamat permainan.

Bahkan bekas pemain Selangor itu menjadi ‘pemusnah’ buat skuad Harimau Malaya dan pasukan lawan lain termasuklah Korea Selatan di Piala Asia 2023, di Qatar.

Pada hemat saya, banyak keputusan pengadil perlawanan menjadi punca para pemain setiap pasukan tidak dapat mengawal emosi di tengah padang.

Sepatutnya pengadil tahap profesional di Liga Malaysia harus mengelak daripada melakukan tindakan yang salah ke atas pemain atau terlalu lambat membuat keputusan sedangkan permainan diteruskan.

Jika perlu setiap pengadil dan penjaga garisan menggunakan kuasa budi bicara sebelum sesuatu keputusan diambil ke atas pemain yang didapati melakukan kesalahan di atas padang.

Tindakan yang berlaku antara pengandil dan Yazan jelas menunjukkan mutu pengadilan di Liga Malaysia yang dikatakan bertaraf profesional masih agak lemah dan sering membuat keputusan berat sebelah. Ini antara salah satu faktor berlakunya ketegangan kedua-dua pasukan atas padang.

Seharusnya pihak FAM mengkaji semula kedudukan pengadil yang didapati tidak menunjukkan mutu pengadilan yang memuaskan.

Contohnya tindakan ke atas Yazan yang menendang pengadil memang tidak patut dilakukan oleh seseorang pemain namun secara peribadi saya berpandangan mungkin ketika itu Yazan melakukannya secara spontan dan tidak berniat disebabkan kawalan emosi terganggu oleh kerana gara-gara sikap dan tindakan pengadil berkenaan sepanjang mengadili perlawanan.-UTUSAN

MUZAKKIR HARON
Pulau Pinang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×