RAFAH: Serangan udara Israel mengorbankan 17 rakyat Palestin di Rafah, kawasan yang menjadi tempat lebih sejuta rakyat Palestin berlindung, ketika mereka tiada lagi tempat untuk dituju.
Semalam, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengarahkan tenteranya untuk membangunkan rancangan mengosongkan Rafah dan mahu memusnahkan empat batalion Hamas yang dikatakan berlindung di kawasan itu.
Tentera Israel turut mendakwa, serangan udara yang dilancarkan di Rafah Rabu lalu membunuh dua pegawai Hamas.
Dalam serangan Israel ke atas bandar-bandar Gaza sebelum ini, tentera mengarahkan orang awam melarikan diri ke selatan.
Bagaimanapun ketiadaan lokasi selamat untuk mereka melarikan diri menyebabkan sejumlah besar orang awam maut.
Penduduk Palestin berkata, sebarang pencerobohan Israel di Rafah seumpama pembunuhan beramai-ramai kerana lokasi itu sebelum ini diisytihar sebagai zon selamat dan menjadi tempat perlindungan terakhir mereka.
Kebanyakan pemimpin dunia menyifatkan operasi ketenteraan Israel itu akan mengundang bencana kemanusiaan yang lebih buruk selain bakal membangkitkan kemarahan negara jiran Mesir.
“Kami mengulangi amaran beberapa negara anggota bahawa serangan Israel ke atas Rafah bakal menyebabkan bencana kemanusiaan yang tidak dapat diungkapkan dan ketegangan serius dengan Mesir.
“Meneruskan rundingan pembebasan tawanan dan menghentikan permusuhan adalah satu-satunya kaedah mengelak pertumpahan darah,” kata Pegawai Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU), Josep Borell menerusi kenyataannya di laman X.
Menteri Luar Jordan, Ayman Safadi, turut mengingatkan pertumpahan darah berterusan di Gaza tidak boleh dibenarkan.
Menteri Luar Britain, David Cameron, juga mengakui sangat bimbang dengan operasi ketenteraan Israel di Rafah.
Sejak 7 Oktober lalu, Israel melakukan pengeboman besar-besaran dan serangan darat yang menyebabkan kira-kira 28,000 rakyat Palestin, kebanyakannya orang awam terbunuh.
Konflik itu juga dikhuatiri semakin merebak ke seluruh Asia Barat dengan Israel dan Hezbollah Lubnan kerap bertukar serangan yang meletus di Syria, Iraq dan Yemen.-AFP/REUTERS











