Kes Nik Elin: Fahami undang-undang syariah, sivil - Mohd. Sharkar - Utusan Malaysia

Kes Nik Elin: Fahami undang-undang syariah, sivil – Mohd. Sharkar

MOHD. SHARKAR SHAMSUDIN (kanan)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Negara ini mempunyai dua undang-undang yang digunakan iaitu syariah dan sivil yang bertujuan menjaga keadilan serta keamanan dalam masyarakat, tetapi terdapat perbezaan jelas berhubung dua sistem perundangan terbabit.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, syariah adalah undang-undang yang melibatkan perkara-perkara yang berteraskan sumber daripada al-Quran, sunnah, ijmak dan qiyas, yang mana ia hanya membabitkan orang beragama Islam.

Katanya, sivil pula undang-undang melibatkan perkara-perkara yang tidak berteraskan sumber daripada al-Quran, sunnah, ijmak dan qiyas sebaliknya ia berteraskan Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang lain yang berkenaan.

“Saya bukan seorang pengamal undang-undang, tetapi saya cuba mengulas mengikut apa yang saya faham berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

“Saya berpandangan termasuk dari beberapa kawan yang mempunyai latar belakang perundingan, isu berbangkit berhubung petisyen peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid, 62, dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul, 26, adalah berkenaan bidang kuasa,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 8-1 kelmarin memutuskan bahawa 16 peruntukan kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah.

Keputusan bersejarah itu disampaikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel sembilan anggota selepas membenarkan permohonan Nik Elin dan Tengku Yasmin Nastasha bagi mencabar isu perlembagaan untuk membatalkan 18 peruntukan kesalahan di bawah enakmen tersebut.

Mengulas lanjut, Mohd. Sharkar berkata, perlu difahami bahawa dalam Perlembagaan Persekutuan terdapat dua bidang kuasa iaitu mahkamah sivil yang melibatkan seluruh rakyat manakala mahkamah syariah hanya umat Islam.

Jelasnya, apa-apa hukuman yang dilaksanakan mahkamah syariah di bawah bidang kuasanya mengikut undang-undang yang ditetapkan di peringkat negeri dan diluluskan Badan Perundangan Negeri.

Katanya, hukuman dilaksanakan mahkamah sivil pula mengikut undang-undang ditetapkan di peringkat Persekutuan yang diluluskan Parlimen.

“Apa diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan baru-baru ini adalah bagi mengelakkan Dewan Undangan Negeri (DUN) menggubal sesuatu undang-undang yang bukan dalam bidang kuasanya atau melampaui batasannya yang boleh menimbulkan kontroversi dan pertembungan dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Keputusan Mahkamah Persekutuan tidak harus diperlihatkan sebagai mencabar undang-undang Allah SWT yang mana saya berpendapat ada sesetengah pihak terkeliru dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang dengan nyata menyatakan bidang kuasa Mahkamah Persekutuan dalam Jadual Kesembilan senarai Persekutuan dan batasannya. Begitu juga bidang kuasa mahkamah syariah ditetapkan dalam Senarai Negeri.

“Kerajaan Kelantan telah terkhilaf apabila meluluskan rang undang-undang yang melibatkan Senarai Persekutuan. Oleh yang demikian Mahkamah Persekutuan telah memperbetulkan kesilapan itu dengan membuat suatu deklarasi bahawa dan saya memetik penghakiman Tengku Maimun bahawa “Enakmen 2019 adalah batal dan tidak sah atas alasan Badan Perundangan Negeri Kelantan/responden membuat undang-undang berkenaan hal perkara yang ia tidak mempunyai kuasa untuk membuatnya”,” katanya.

Menurutnya, keputusan Mahkamah Persekutuan itu akan memberi ruang yang lebih baik kepada hubungan antara mahkamah sivil dan syariah untuk menyelesaikan beberapa pertindihan dalam enakmen syariah.

“Semua pihak seharusnya menghormati Perlembagaan Persekutuan yang dengan jelas menghalang mahkamah syariah mencampuri bidang kuasa mahkamah sivil.

“Kegagalan mematuhi peruntukan berkenaan boleh menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat apabila sesuatu keputusan mahkamah dibuat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×