JOHOR BAHRU: Dua remaja perempuan antara 70 orang yang ditahan dalam serbuan di dua buah premis hiburan sekitar bandar raya ini, semalam.
Dalam serbuan yang dibuat antara 2 hingga 8 pagi itu, mendapati dua remaja yang sudah berhenti sekolah itu bersama-sama 66 individu yang lain didapati positif dadah.
Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor telah melakukan operasi khas terhadap dua premis yang melanggar syarat operasi.
Katanya, dalam operasi tersebut, seramai 248 individu diperiksa di kedua-dua premis itu.
“Pemeriksaan mendapati sebuah premis beroperasi tanpa lesen perniagaan dan lesen hiburan yang sah manakala satu lagi premis beroperasi melebihi had masa ditetapkan.
“Dalam operasi itu, polis menahan seramai 68 individu termasuk dua remaja perempuan positif dadah jenis methamphetamine, ketamin dan tetrahydrocannabinol (THC),” katanya kepada pemberita hari ini.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas sebuah amplifier, pembesar suara, mikrofon dan wang tunai RM5,224.
Kumar memberitahu, turut ditahan ialah dua lelaki yang merupakan juruwang di premis tersebut dan diserahkan kepada bahagian siasatan jenayah Ibu pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan untuk tindakan lanjut.
Katanya, hasil saringan awal air kencing mendapati, 48 lelaki termasuk 36 warga asing dan 20 perempuan termasuk 16 warga asing positif pelbagai jenis dadah.
“Semua tahanan warga asing telah mengemukakan salinan dokumen perjalanan namun polis akan membuat semakan dengan Jabatan Imigresen untuk mengesahkan ketulenan dokumen berkenaan.
“Polis berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka. Sebarang maklumat boleh disalurkan melalui hotline JSJN di talian 012-2087222,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 6 (2) dan Seksyen 11 (2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Johor (ENJ) 4/98. – UTUSAN











