Tentera Israel serbu hospital Al-Amal di Khan Yunis

Tentera Israel serbu hospital Al-Amal di Khan Yunis

KEPULAN asap tebal menyelubungi ruang udara akibat serangan Israel di bandar Khan Yunis, selatan Gaza. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA CITY: Pasukan tentera Israel menyerbu sebuah hospital di bandar selatan Gaza, Khan Yunis yang dikepung selama beberapa minggu.

Perkara itu dimaklumkan oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) yang mengendalikan kemudahan tersebut.

“Rejim Israel menyerbu hospital Al-Amal dan mula menggeledahnya. Kami berasa amat sukar untuk berkomunikasi dengan pekerja kami di hospital tersebut,” jelas PRCS menerusi kenyataan.

Tentera Israel mengesahkan pasukannya sedang menjalankan operasi serbuan di hospital itu.

“Berdasarkan laporan risikan yang menunjukkan Hamas berada di dalam hospital Al-Amal di Khan Yunis, operasi serbuan dijalankan untuk mengesan aktiviti dan membongkar infrastruktur pejuang di kawasan sekitar,” kata tentera.

Sementara itu, PRCS memaklumkan tentera Israel menahan lapan anggota pasukannya di hospital termasuk empat doktor, empat individu yang cedera dan lima kenalan pesakit.

Hospital Al-Amal terperangkap dalam pertempuran sengit antara tentera Israel dan pejuang Hamas, dengan Bulan Sabit Merah melaporkan tembakan artileri kedengaran berterusan di sekitar hospital pada Khamis lalu.

Sejak kebelakangan ini, pertubuhan perubatan itu membuat rayuan berulang kali untuk mendapatkan bekalan dan perlindungan selepas melaporkan kekurangan oksigen, ubat-ubatan dan bahan api untuk mengendalikan hospital tersebut.

Pada awal minggu ini, Bulan Sabit Merah berkata, kira-kira 8,000 orang mendapatkan perlindungan di Hospital Al-Amal dan ibu pejabatnya yang berdekatan dengan Khan Yunis selepas dipindahkan. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×