Kenal pasti murid potensi tercicir lebih awal

Kenal pasti murid potensi tercicir lebih awal

PIHAK sekolah perlu berupaya mengenal pasti murid yang berpotensi tercicir sejak peringkat awal. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pihak sekolah perlu berupaya mengenal pasti murid yang berpotensi tercicir sejak dari peringkat awal dan mengambil langkah intervensi sebelum mereka memasuki peringkat menengah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, walaupun jumlah keciciran tidak membimbangkan namun pihak berwajib tidak boleh lewat membantu kumpulan itu.

Menurutnya, setiap pelajar perlu dipastikan sekurang-kurangnya mendapat pendidikan wajib dan mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kaunselor dan pihak sekolah seharusnya diberikan kemahiran untuk mengenal pasti kumpulan murid yang berkemungkinan tercicir. Masalah disiplin dan keputusan peperiksaan yang kurang memberangsangkan adalah antara indikator utama.

“Jika tidak dilakukan intervensi awal, berkemungkinan besar mereka akan hilang minat untuk terus belajar,” katanya ketika diminta mengulas langkah kerajaan me­rangka beberapa pendekatan bagi menangani isu sejumlah 14,506 atau 0.83 peratus pelajar sekolah menengah yang tercicir daripada arus pendidikan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, faktor utama keciciran mereka ialah hilangnya minat ke sekolah, ingin menampung keper­luan keluarga dan masalah kemiskinan keluarga.

Anuar berkata, mereka yang tercicir juga perlu menguasai kemahiran 3M (membaca, menulis, mengira) pada peringkat sekolah rendah dan diperkenalkan dengan aliran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) lebih awal.

“Mereka yang tercicir juga perlu diberikan peluang untuk masuk ke aliran TVET di peringkat awal. Sekiranya mereka tercicir di tingkatan satu dan diberikan pendedahan dalam aliran TVET, itu lebih memberi manfaat untuk mereka berbanding terpaksa meneruskan aliran akademik,” katanya.

Mengenai bantuan, Anuar berkata, bantuan yang diberikan kepada murid juga perlu bersasar terutamanya untuk mereka yang benar-benar berada dalam kelompok miskin.

“Kumpulan tertentu memerlukan lebih bantuan daripada murid biasa oleh faktor kemiskinan atau keluarga tidak mampu menampung pendidikan mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Pusat Pengajian Media Massa, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Ahmad Farami Abdul Karim berkata, sistem pengajaran dan pembelajaran (PdP) perlu diubah bagi menarik minat murid untuk menamatkan sesi persekolahan sehingga peringkat SPM.

“Sistem pengajaran dan pembelajaran memerlukan transformasi untuk menarik murid ke sekolah dan menghabiskan persekolahan. Kaedah penyampaian pelajaran harus berorientasikan murid dan pembelajaran harus menyeronokkan bagi mengekalkan motivasi murid.

“Selain itu, literasi 3M wajar ditekankan semula untuk membolehkan murid mengikuti pelajaran secara optimum. Dua aspek ini adalah sebahagian daripada kurikulum 2027 yang diumumkan oleh Menteri Pendidikan,” katanya.

Tambahnya, perkembangan semasa tahap formatif kanak-kanak serta pendidikan awal kanak-kanak perlu diperkasa oleh KPM dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Menurutnya, Kementerian Pembangunan Luar Bandar juga wajar meneruskan penyediaan peluang mengikuti pendidikan bidang TVET bagi pelajar yang tiada kecenderungan akademik supaya dapat menjamin masa depan dengan pekerjaan yang relevan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×