SEBAGAI individu yang menghasilkan karya bahasa kebangsaan secara profesional sejak 1991, saya perhatikan bahawa sehingga kini, karya sastera kebangsaan yang dihasilkan penulis Melayu belum mampu menggambarkan realiti hidup kaum Cina di negara ini.
Memanglah sejak 1970-an kita ada penulis kaum Cina yang membantu memperkaya sastera kebangsaan dengan menghasilkan cerpen dan novel mengetengahkan realiti budaya, hidup dan permasalahan komuniti itu. Namun begitu, sehingga kini, sastera Melayu iaitu cerpen dihasilkan penulis Melayu masih gagal mengangkat kisah kaum Cina.
Sempena sambutan Tahun Baharu Cina, sambil kita meraikan kepelbagaian dan memupuk perpaduan, elok juga kita meneliti realiti yang disajikan dalam karya sastera, khasnya cerpen pengarang Melayu sejak dahulu.
Perkara yang saya perkatakan di sini sebenarnya saya sedari sejak di sekolah menengah (1985-1991) kerana saya memang banyak membaca cerpen dan novel. Pada waktu iu, saya agak hairan mengapa watak Cina sentiasa digambarkan secara negatif dalam cerpen Melayu.
Rupa-rupanya, saya tidak membayangkan yang bukan-bukan kerana ramai pengkaji sastera Melayu seperti Hashim Awang dan Othman Puteh turut berpendapat penulis kaum Melayu sukar mengangkat dan menggambarkan realiti hidup watak Bukan Melayu dalam karya. Huraian terperinci para pengkaji terbabit boleh dibaca dalam buku Kavya Sastra (2021).
Saya akan menyentuh beberapa cerpen yang dibaca semasa remaja dan tetap meninggalkan kesan tentang cara watak kaum Cina digambarkan dalam karya. Bukanlah bertujuan menimbulkan masalah tetapi untuk membantu kita bermuhasabah dan memastikan kesilapan masa lalu tidak diteruskan penulis masa kini.
Cerpen Ah Khaw Masuk Syurga oleh A. Samad Ismail misalnya sangat menarik kerana menggambarkan bagaimana sebuah keluarga Melayu melindungi seorang lelaki Cina pada zaman penjajahan Jepun di Malaya. Akan tetapi, watak Ah Khaw seolah-olah terpaksa dan dipaksa menerima budaya Melayu dan Islam sekiranya mahu terus hidup.
Perlu diakui cerpen seperti Ibu Tidak Mati oleh S. Othman Kelantan menggambarkan hubungan persahabatan erat antara watak Melayu dan Cina menjelang dan selepas kemerdekaan negara.
Keris Mas pula menerusi Kedai Sederet di Kampung Kami menggambarkan kerjasama Melayu-Cina semasa Darurat (1948-1956).
Cerpen Perang dan Manusia serta Penyerahan oleh A. Samad Said berlatarkan kaum Melayu dan Cina di Singapura sewaktu serangan dan penjajahan Jepun. Sebagai seorang pelajar dan pembaca remaja, saya kagum dengan keprihatinan Siew Fong terhadap nasib Sapuan yang hilang tempat tinggal.
Watak Maarof pula dilayan seperti sebahagian keluarga oleh pasangan Cina-Muslim dan anak mereka, Zubaidah. Namun begitu, saya sangat terkejut apabila tentera Jepun datang ke rumah dan Latifah (isteri Maarof) bersedia menyerahkan Zubaidah (Cina-Muslim). Malah, Maarof memilih untuk berdiam diri apabila Zubaidah dirogol tentera Jepun. Seolah-olah persaudaraan Melayu-Cina yang terbina terus hancur apabila berdepan musuh.
Perlu dinyatakan bahawa apa-apa yang saya kongsi di sini adalah pengalaman peribadi saya membaca karya-karya lama pada usia remaja serta bagaimana ia memberi kesan kepada saya dalam menilai peranan sastera Melayu ke arah menggambarkan realiti hidup masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.
Sering kali watak Cina ditampilkan sebagai pihak yang cuba merosakkan atau memesongkan cara hidup watak Melayu yang selama ini patuh pada ajaran agama. Misalnya, dalam cerpen Pengintipan oleh Awam-il Sarkam @ Abdul Wahab bin Mohamad, Tan Ah Bee berjaya mempengaruhi Palil menjadi perompak.
Watak Tan Lian dalam cerpen Keris Mas @ Kamaluddin Muhamad bertajuk Banyak Anak pula cuba mempengaruhi Hamzah melakukan kejahatan. Dalam cerpen Mendung oleh Arman Sani @ Abdul Rahman Haji Muhammad pula, Ah Leong berjaya mempengaruhi watak lelaki Melayu melakukan hal-hal bertentangan etika dan ajaran agama.
Saya tidak ingat secara terperinci jalan cerita kesemua cerpen Melayu yang dibaca dengan penuh minat di perpustakaan sekolah. Walau bagaimanapun, secara umum, agak banyak cerpen menampilkan watak wanita Cina sebagai penggoda dan perosak hidup watak lelaki Melayu. Perkara ini dapat kita perhatikan juga dalam cerpen Kacang Lupakan Kulitnya dan Budi oleh Usman Awang.
Anis Sabirin pula menulis tentang lelaki Melayu yang meninggalkan isteri dan anak kerana mahu berkahwin dengan kekasih Cina. Watak Mei Ling dalam cerpen Saya Kenal Nietzsche dan Mimi dalam Insaf oleh Ismail Haji Adnan juga diberikan perwatakan seumpama itu.
Malah, dalam cerpen Bilik Belakang, Keris Mas menggambarkan bagaimana seorang ahli perniagaan Cina dan seorang wanita Cina penggoda mempengaruhi watak Che’ Yusof melakukan hal-hal yang tidak patut pada bulan puasa.
Seorang pelacur bernama Janet Leong cuba menggoda seorang pemuda Melayu yang baru berkahwin dalam cerpen Malam Bulan Madu tulisan Rubaidin Suwar. Watak Linda dalam cerpen Linda di Tengah Gelanggang oleh Yahya Samah pula mengoda Aidil. Begitu juga Nancy membantu Hashim melupakan isterinya dengan cara tidak betul dalam cerpen Runtuh tulisan Keris Mas.
Saya juga membaca beberapa cerpen yang mana watak wanita Cina masuk Islam dan berkahwin dengan lelaki Melayu. Sekiranya diteliti, digambarkan secara terang-terangan seolah-olah orang Cina meninggalkan dunia penuh hina dan masuk ke dalam dunia Melayu yang penuh nilai murni menerusi perkahwinan ini.
Antara cerpen yang saya ingat ialah Pertahanan Terakhir (Agus Salim), Anak Angkat Penghulu Majid (Khalid bin Abbas) dan Secoret Kisah Darurat (Buang Alias Ibrahim).
Ada sedikit kelainan cuba diketengahkan Kassim Ahmad menerusi Percintaan di Kuala Lumpur apabila Abdul Rahim yang berpendidikan dan mengimpikan persefahaman sejati antara penduduk pelbagai kaum di negara ini bercinta dengan Kim Lian.
Ciri etnosentrik masih wujud kerana watak itu memanggil Kim Lian sebagai Lian iaitu kependekan bagi nama Melayu-Islam, Kamalian. Pasangan itu juga melihat bahasa Inggeris sebagai masa depan bagi Bangsa Malaysia.-UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).










