SHAH ALAM: Tindakan 11 pengawal keselamatan menyimpan senjata api jenis pump gun secara salah dipercayai sejak dua tahun lalu memakan diri apabila mereka dicekup polis di sekitar Kuala Selangor dan Sabak Bernam, baru-baru ini.
Kesemua lelaki berusia 25 hingga 53 tahun itu antaranya menyimpan senjata berkenaan di bawah katil dan almari rumah selain di dalam kereta.
Tidak cukup itu, ada daripada mereka membawa pump gun dan peluru secara terbuka dengan hanya menunggang motosikal.
Perbuatan itu bagaimanapun dihidu Pasukan Penguatkuasaan Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN) (Lesen Senjata Api) Bukit Aman dan Unit Penguatkuasaan Lesen Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor yang memberkas suspek dalam 11 siri serbuan pada Selasa dan kelmarin.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, penahanan itu dilakukan selepas semua pengawal keselamatan selesai bertugas di bank dua daerah tersebut.
Jelas beliau, serbuan itu membawa kepada rampasan sebanyak 11 laras pump gun, 55 butir peluru dan sebuah kenderaan yang ditemukan dalam kediaman masing-masing.
“Siasatan awal mendapati semua suspek bekerja dengan sebuah syarikat kawalan keselamatan di Kuala Lumpur dan diarah menyimpan senjata api di rumah.
“Selain itu, mereka membawa secara tidak selamat dengan hanya menggalasnya ketika menunggang motosikal,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, petang ini.
Menurut Hussein, semakan pihaknya mendapati syarikat itu pernah dikesan melakukan kesalahan sejak 2015 namun lebih kepada kes terpencil.
“Kes berkenaan diklasifikasikan mengikut Seksyen 8 (b) Akta Senjata 1960 kerana melanggar syarat lesen yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000, jika sabit kesalahan.
“Kesemua suspek turut akan didakwa di mahkamah atas kesalahan itu dalam tempoh terdekat,” ujarnya.
Tambah beliau, ia merupakan kes pertama seumpamanya di Selangor tahun ini dan semua syarikat keselamatan diminta mematuhi peraturan dengan menyediakan bilik kebal bagi menyimpan senjata tersebut,” katanya. – UTUSAN










