MAHASISWA dan politik berpisah tiada. Secara tersurat mahupun tersirat, cerita dan berita politik sentiasa meniti di suapan media sosial, sama ada politik parti mahupun politik kampus.
Maklumlah, jika mahasiswa tidak mencari, orang politik yang datang mencari mahasiswa.
Universiti sering dianggap tanah subur semaian ideologi politik kepartian. Jolokan golongan intelektual dan tiupan semangat kuasa siswa digunakan bagi memperalatkan mereka. Maka bergemalah alunan kononnya tugas dan peranan mahasiswa adalah sebagai kuasa ketiga politik negara.
Di universiti, penggiat politik sering bercakap tentang betapa pentingnya menyuburkan budaya politik matang. Namun, matangkah budaya politik di universiti? Atau adakah politik universiti sekadar bayangan, dibelenggu budaya politik luar yang bersifat keras dan bercorak radikal?
Ramai yang suka mengaitkan demokrasi dengan hak dan kebebasan. Mereka rasakan rakyat berhak menuntut dan bersuara apa-apa sahaja, maka jika tak berpuas hati, turun sahaja ke jalanan. Sepanduk diangkat dan segala yang dicanang pemimpin terus dibantah dan dituntut.
Cara serupa turut popular bagi sesetengah gerakan pelajar di universiti. Persoalannya, di manakah nilai kematangan mahasiswa jika kita hanya tahu mengamalkan politik jalanan? Ke manakah perginya nilai dan budaya intelektual yang dibanggakan selama ini?
Sebenarnya, tiada kebebasan mutlak dalam kehidupan bermoral. Sebagai manusia bertamadun, hidup kita ada aturannya. Kita tidak mengamalkan budaya berprinsipkan undang-undang rimba.
Justeru, kebebasan kita dibatasi undang-undang yang mesti dipatuhi. Kita juga mesti menghormati dan tidak mempersoalkan hak semua pihak yang sudah digariskan oleh peruntukan undang-undang tertinggi negara. Apatah lagi dalam hal-hal yang melibatkan kuasa dan kedaulatan Raja-Raja Melayu. Mahasiswa harus menaakul peruntukan undang-undang dan bukan sekadar menyambung rajutan mencabar kedaulatan raja dan negara.

BLOK KETIGA
Demokrasi juga dikaitkan dengan kuasa. Pengundi menggunakan kuasa mengundi untuk memberi kuasa kepada pemimpin politik pilihan. Sentimen kuasa rakyat inilah yang dimainkan aktivis politik mahasiswa untuk menyemarakkan lagi bara gerakan siswa, kononnya selaku blok ketiga politik.
Persoalannya, apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan slogan mahasiswa sebagai blok ketiga? Kita sedia maklum bahawa blok pertama dan kedua ialah kerajaan dan pembangkang masing-masing dengan pembangkang memainkan peranan semak dan imbang.
Konsep blok ketiga berpunca daripada keperluan pihak luar daripada politik yang memerhati dan membuat pilihan. Maka, blok ketiga sebenarnya rakyat secara umum, bukan terhad kepada mahasiswa. Bukan ingin mengecilkan mahasiswa, namun sebagai seorang mahasiswa sendiri saya sedar kami bukan satu-satunya golongan yang wujud dalam kalangan rakyat. Lebih-lebih lagi apabila mahasiswa masih sedang belajar, dan terdapat lebih ramai yang lebih berpengalaman.
Peranan sebenar mahasiswa terletak dalam istilah ‘mahasiswa’ itu, yang berasal daripada istilah ‘sisya’ dalam bahasa Sanskrit bermaksud pelajar atau pengikut, dengan penggunaan awalan ‘maha-’ bagi menandakan peringkat pengajian tinggi. Walaupun saya tidak setuju dengan mahasiswa sebagai pengikut buta tuli semata-mata, namun jelas bahawa mahasiswa masih dalam proses pembelajaran.
Kilauan gemerlapan kuasa politik sering memukau pandangan anak muda. Ramai yang mahu terjun ke bidang ini secepat mungkin bagi mula berlumba mendaki tangga kepimpinan.
Kedudukan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim menjadi igauan dan impian mereka. Namun, kita harus sedar bahawa mereka berdua berada di situ kerana diangkat oleh tokoh politik terkemuka.
Kedua-duanya bermula daripada gerakan pembangkang yang merupakan blok kedua, bukan berjuang selaku blok ketiga.
Berpijaklah di bumi nyata. Sudah terang lagi bersuluh hakikatnya, politik kampus tak lekang daripada pengaruh cengkaman parti politik. Jika kesatuan pelajar masing-masing dibayangi parti politik yang ada, di mana ideologi berkecuali yang mereka dilaungkan?
Memang banyak yang mahu diperjuangkan namun ini bukanlah satu-satunya cara perjuangan yang ada bagi mahasiswa. Yang cantik berkilau di bawah terik sinaran matahari itu berkemungkinan hanyalah serpihan kaca dan bukannya permata seperti yang diidamkan.
Lihatlah berapa ramai mahasiswa kita yang terganggu tumpuan terhadap tugas mereka sebagai mahasiswa akibat terpukau oleh kerlipan indah dunia politik. Walhal, ramai yang terkandas dalam perjuangan dunia politik yang penuh liku serta ranjau yang dalam. Jangan pula sampai menjadi ibarat anjing dengan bayang-bayang, jangan kelibat dua tokoh berjaya terus membutakan kita.
Menyedari minat saya yang mendalam dalam bidang sains politik dan undang-undang, saya sering dinasihati supaya tidak menperjudikan masa depan dengan menyertai politik sambil belajar. Universiti dibina sebagai pusat ilmu. Tugas utama mahasiswa ialah belajar, bukan sekadar di kuliah tetapi juga di pandangan sesama masyarakat untuk menerap segala teori yang dipelajari.
Banyak program bermanfaat boleh disertai di kampus. Banyak projek yang dirangka pihak universiti bertujuan memberi pengalaman serta membina sahsiah diri mahasiswa supaya bukan sahaja kelak menjadi insan berilmu tetapi juga bermutu.
Pilihlah aktiviti yang bantu meningkatkan keterampilan serta kemahiran diri. Timbalah pengalaman, bukan berlagak seolah-olah golongan paling berpengalaman. Kita harus tingkatkan keupayaan dengan mengasah minda dan daya pemikiran kita terdahulu.
Jika mampu, berusahalah untuk mempelajari kursus elektif atau minor rentas fakulti, kerana inilah waktu terbaik untuk membina diri. Kemahiran rentas bidang banyak kelebihannya bagi masa depan.
Mahasiswa harus celik politik, bukan aktif berpolitik. Timbalah ilmu dan matangkan diri dahulu. Lautan dalam jangan diterjun jika tidak berkemahiran.
Hormati pendapat, tetapi pada pendapat saya ini yang menjejaskan pendidikan kita. Kita terlupa bahawa kita datang untuk belajar. Ada masa perlu mempunyai sikap rendah diri, tidak boleh hanya mahu sombong.-UTUSAN
PENULIS ialah pelajar ijazah sarjana muda sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










