BEIJING: Ribut salji dan hujan mengganggu pengangkutan di sebahagian besar China ketika berjuta-juta orang melakukan perjalanan untuk cuti Tahun Baru Cina.
Lapor BBC, beratus-ratus penerbangan dan perkhidmatan kereta api dibatalkan manakala pemandu kenderaan terkandas di lebuh raya beku selama beberapa hari.
Percutian itu mencetuskan penghijrahan manusia terbesar tahunan apabila berjuta-juta orang di China pulang ke kampung halaman masing-masing.
Perjalanan juga meningkat selepas sekatan Covid-19 di China ditarik balik lebih setahun lalu.
Pihak berkuasa menjangkakan 480 juta perjalanan akan dibuat untuk Tahun Baru Cina, juga dikenali sebagai Festival Musim Bunga.
Jumlahnya 40 peratus lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.
Perkhidmatan meteorologi China memberi amaran tentang cuaca musim sejuk yang paling teruk sejak 2008.
Wilayah tengah negara itu termasuk wilayah seperti Hebei, Hubei dan Anhui menanggung beban akibat keadaan cuaca beku.
Dalam media sosial, rakyat China berkata, kesejukan yang melampau merosakkan rancangan mereka untuk bersatu semula dengan keluarga.
Mereka menyiarkan gambar mereka terkandas di dalam kereta api dan stesen kereta api ketika talian elektrik terputus.
Tahun Baru Cina jatuh pada 10 Februari, hari Sabtu.
Kira-kira 255 bandar di seluruh negara itu menyaksikan purata suhu harian jatuh di bawah 0C, jauh melebihi keadaan tahun sebelumnya.
Hampir 100 stesen tol lebuh raya di Anhui menghalang kereta daripada masuk kerana keadaan berais.
Pada hari Isnin, penyiar CCTV negeri melaporkan bahawa 4,000 kenderaan tersangkut di jalan raya.
Kerajaan pusat China berkata, ia akan mengeluarkan 141 juta yuan (AS$20 juta atau RM95.4 juta) untuk membiayai penyingkiran salji segera di lebuh raya dan kerja berkaitan di 11 wilayah, kata CCTV.











