SAUDARA PENGARANG,
Sejak konflik Palestin-Israel, Malaysia antara negara yang kuat menentang kekejaman zionis Israel sehingga mencetuskan fenomena boikot produk dari negara itu dan sekutunya. Namun, antara sedar atau tidak aktiviti memboikot secara berterusan boleh memberi impak terhadap ekonomi sesebuah negara.
Ini kerana segala proses perdagangan dari luar serta dalam negara akan berkurang. Lebih-lebih lagi terhadap negara yang ekonominya hasil perdagangan barang eksport dan import. Selain itu, boikot juga secara tidak langsung mampu memberi kesan kepada hubungan diplomasi.
Apabila boikot dilakukan terhadap sesebuah negara, ia dapat membuka ruang perbincangan bersama negara-negara lain bagi mengatasi isu tersebut. Dalam erti kata lain kesan boikot ini mampu mencipta perdamaian, akan tetapi boleh juga memutuskan hubungan dek kerana tidak berhasil mencapai persetujuan bersama.
Dalam isu sekarang, kita dapat melihat masyarakat dunia yang menyokong Palestin semakin rancak mempromosi orang ramai untuk memboikot barangan Israel. Ini jelas membuktikan bahawa peranan boikot dalam meruntuhkan sesebuah negara khususnya ekonomi memberi impak yang sangat kuat.
Lebih meyakinkan lagi apabila berita dan akhbar tempatan turut berkongsi berkenaan kemerosotan ekonomi Israel serta menjangkakan kesannya pada masa akan datang.
Oleh yang demikian, demi memerangi penindasan yang dilakukan terhadap rakyat Palestin, eloklah kita menyambut usaha masyarakat dunia dalam memboikot produk-produk Israel selain memartabatkan lagi produk tempatan.-UTUSAN
NUR AIN NUHA MOHAMED FAKARUDIN
Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya










