PUTRAJAYA: Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli menyifatkan peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya sebagai penyibuk ekoran tindakan mereka mencabar 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.
Beliau yang juga hakim Mahkamah Persekutuan turut ‘menempelak’ kedua-dua beranak itu dengan menyatakan mereka tiada hak di sisi undang-undang (locus standi) memfailkan petisyen itu dalam usaha mengisytiharkan 18 peruntukan itu terbatal dan tidak sah.
Pada hemat Hakim Abdul Rahman, hak berperlembagaan Nik Elin dan anaknya tidak terjejas ekoran penguatkuasaan enakmen berkenaan di Kelantan manakala mereka tidak pernah didakwa atas mana-mana peruntukan berkenaan.
“Tiada satupun alasan yang dikemukakan dalam petisyen itu menunjukkan wujud kontroversi sebenar di antara mereka dan Kerajaan Negeri Kelantan atau bagaimana mereka terjejas dengan peruntukan itu,” ujar beliau.
Hakim Abdul Rahman selanjutnya berkata, isu locus standi sepatutnya diperjelas terlebih dahulu kerana tidak wajar bagi panel itu melaksanakan bidang kuasa asal (inherent jurisdiction) mendengar petisyen tersebut walhal mereka tiada hak di sisi undang-undang.
Beliau menyatakan demikian ketika menyampaikan keputusan minoriti sewaktu menolak petisyen Nik Elin, 62, dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman, 26.
Terdahulu panel sembilan hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan majoriti 8-1 mengisytiharkan 16 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, terbatal dan tidak sah.
Mahkamah tertinggi negara memutuskan Badan Perundangan Negeri Kelantan tidak mempunyai bidang kuasa menggubal peruntukan yang diperikaikan itu kerana ia merupakan bidang kuasa Parlimen. – UTUSAN










