Polis rampas rokok, minuman keras seludup bernilai RM98.7 juta

Polis rampas rokok, minuman keras seludup bernilai RM98.7 juta

PELBAGAI jenis rokok seludup, minuman keras dan kotak minuman keras jenis liquor yang dirampas hasil risikan Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sindiket penyeludupan rokok dan minuman keras tidak bercukai tumpas selepas lapan individu ditahan dengan rampasan lebih RM98 juta di Kuching, Sarawak pada 6 Februari lalu.

Tangkapan itu dilakukan menerusi tiga serbuan hasil risikan dijalankan Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK).

Operasi itu turut dijalankan bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5, Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak dan Polis Kontinjen Sarawak.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, dalam operasi itu, lapan individu termasuk seorang lelaki warga asing ditahan.

Kata beliau, lebih 40 juta batang rokok pelbagai jenis, minuman keras (44,325 peti) dan 391 kotak minuman keras jenis liquor turut dirampas.

“Selain itu, kami turut merampas sebuah van, sebuah trak angkat susun (forklift) serta lima telefon bimbit pelbagai jenama dalam serbuan berkenaan.

“Keseluruhan rampasan itu dianggarkan bernilai RM98.7 juta dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya melancarkan 30 serbuan dan operasi termasuk Op Taring Alpha 1, Op Taring Alpha 2, Op Taring Bravo 1 dan Op Bersepadu Khazanah di seluruh negara bagi tempoh 1 Januari lalu hingga semalam.

Jelas beliau, seramai 91 individu ditahan dengan pelbagai barangan tidak bercukai, minyak diesel bersubsidi serta haiwan dan hidupan liar dirampas dianggarkan bernilai lebih RM181 juta.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa komited dalam memerangi kegiatan penyeludupan barangan tidak bercukai serta penyelewengan barangan kawalan dan bersubsidi supaya tidak berlakunya ketirisan hasil negara.

“Kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa amat digalakkan supaya kegiatan jenayah dapat dibanteras sepenuhnya,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×