SEMALAM kita memperingati peristiwa Israk dan Mikraj yang sering disambut pada 27 Rejab. Satu peristiwa besar yang berlaku sebagai antara mukjizat Rasulullah SAW.
Ia juga bagi menguji keimanan orang mukmin dan orang kafir yang akhirnya membawa kepada gelaran al-Siddiq kepada Saidina Abu Bakar.
Bayangkan dalam satu malam, Nabi Muhammad SAW melakukan perjalanan yang tidak pernah berlaku dalam sejarah manusia iaitu dari Masjidilharam di Mekah terus ke Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis, Palestin.
Ketika itu bukan ada teknologi canggih seperti hari ini. Belum ada telefon pintar yang membolehkan kita merakam dan membuat panggilan video dari pelbagai ceruk rantau. Tidak ada saluran YouTube atau TikTok yang membolehkan kita melihat suasana dan keadaan di tempat yang belum pernah kita jejaki.
Demikianlah, kehebatan dan kekuasaan Allah. Apabila Allah perintahkan kun fayakun, maka jadilah.
Sebagaimana yang kita maklum juga, antara ibadat paling utama yang disyariatkan kepada umat Nabi Muhammad SAW ialah solat fardu lima waktu.
Perintah itu pula diberikan terus kepada baginda SAW tanpa perantaraan malaikat Jibril. Dan ibadat solat juga menjadi rukun Islam kedua selepas mengucap dua kalimah syahadat.
Apabila telah melafazkan kalimah syahadah maka dia hendaklah mengerjakan segala apa yang telah diakui dengan lidah itu. Dia hendaklah mengerjakan segala suruhan dan meninggalkan segala larangan Allah. Jika disebut sahaja tetapi tidak beramal maka tidaklah sah syahadahnya.
Justeru, empat syarat syahadah adalah diketahui, ditasdiqkan (dibenarkan) dengan hati, diucapkan dengan lidah dan diamalkan dengan anggota.
Untuk membentuk umat yang tidak tinggal solat bukanlah suatu yang mudah. Ia perlukan kepada asuhan, didikan dan juga contoh teladan terutama daripada ibu bapa. Ingatlah kata-kata Imam al-Ghazali iaitu: “Jika kamu ingin melihat masa depan sesebuah negara, lihatlah keadaan generasi mudanya yang ada sekarang”.
Untuk itu, amat penting bagi umat Islam memberi didikan dan asuhan di peringkat kanak-kanak lagi agar tidak culas solat.
Bertepatan dengan hal ini, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Perintahkanlah anak kamu sembahyang semasa umur mereka tujuh tahun dan pukullah mereka semasa umur 10 tahun serta asingkanlah tempat tidur mereka. (Riwayat Abu Daud dan Tirmidzi)
Anak-anak ada anugerah dan amanah daripada Allah. Setiap kita terutama golongan bapa akan ditanya tentang didikan yang diberikan kepada anak masing-masing, lebih-lebih lagi dalam bab fardu ain. Untuk itu, janganlah kita menjadi golongan bapa lalai dan alpa daripada melaksanakan tanggungjawab yang utama ini.
Jangan pula kita hanya memberi nafkah makan, minum dan tempat tinggal serta ilmu dunia. Sebaliknya hendaklah seimbangkan ilmu dunia dan akhirat agar generasi anak, cucu cicit kita sentiasa berada pada landasan yang betul dan jalan yang lurus sebagaimana yang digariskan oleh Islam.
SOLAT
Adalah penting bagi para bapa untuk membiasakan anak-anak dengan solat berjemaah di masjid dan surau. Cuma, hendaklah diajar anak-anak terlebih dahulu agar mereka memahami tunduk bangkit perbuatan dalam solat. Janganlah bawa anak-anak yang tidak pernah melihat kita solat di rumah ke masjid bagi mengelak mereka mengganggu jemaah ketika solat.
Sebab itu, peranan ibu bapa di rumah amat penting. Suami isteri hendaklah membudayakan solat berjemaah sekali sekala di rumah bersama anak-anak. Walaupun anak kita masih kecil waima tiga atau empat tahun, solatlah berjemaah. Ajak mereka agar tidak kekok dan supaya terpaut dan lekat hati mereka untuk solat.
Allah SWT memerintahkan ketua keluarga memastikan bahawa sesiapa yang di bawah tanggungannya seperti isteri dan anak-anak supaya melaksanakan solat serta hendaklah tekun dan sabar dalam menunaikannya. Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. (Taha: 132)
Senang cakap, bawa anak yang sudah mumaiyiz solat berjemaah. Sebelum pergi ke masjid, pesan kepada mereka supaya jangan berlari-lari semasa solat. Seperkara lagi, letakkan mereka solat bersebelahan dengan bapa. Jangan biarkan mereka solat dengan kawan-kawan di belakang.
Jemaah yang lain pula janganlah bersikap bengis dengan kanak-kanak. Memang sifat dan naluri kanak-kanak ini suka bermain. Lebih-lebih lagi dalam masjid dan surau yang jauh lebih luas daripada kawasan rumah. Sebelum nak marah, imbas kembali bagaimana kelakuan kita semasa kecil dulu apabila berada di masjid.
Gunakan pendekatan berhikmah semasa menegur. Antaranya, apa salahnya beri berkenalan dahulu dengan kanak-kanak itu. Memulakan perkenalan bukanlah susah. Adakalanya melalui sebiji gula-gula atau sekeping coklat sudah boleh menjadi ice breaker.
Selepas itu, barulah mudah untuk kita membetulkan kelakuan mereka dan juga memberikan pujian atas komitmen mereka solat berjemaah. Bagi yang dilihat ada kecenderungan dan berbakat, apa salahnya kita tawarkan sekali-sekala untuk melaungkan azan.
Menyuruh dan mengejutkan anak yang belum baligh untuk solat juga adalah satu tanggungjawab dan tuntutan ke atas ibu bapa. Lebih-lebih lagi solat Subuh kerana Rasulullah SAW sangat menekankan tentang kepentingannya dan terdapat pelbagai keistimewaan padanya.
Diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a daripada Rasulullah SAW berkaitan dengan ayat 78, surah al-Israk yang bermaksud: dan (dirikanlah) sembahyang Subuh sesungguhnya sembahyang subuh itu adalah disaksikan (keistimewaannya), bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Ia (solat Subuh) disaksikan oleh Malaikat Malam dan juga Malaikat Siang. (Riwayat Tirmidzi)
Masjid dalam Islam memainkan peranan amat penting untuk pembentukan sahsiah seorang muslim dan juga membina masyarakat Islam.
Di bawah kepimpinan baginda SAW di Madinah, masjid menjadi tempat memupuk peribadi muslim dan muslimat hingga kental dan jadi cukup kuat membina masyarakat Islam yang utuh.
Islam juga menggalakkan kita segera mendidik anak-anak di usia muda sebelum mereka disibukkan dengan pekerjaan. Contohnya, Imam al-Syafie menghafal al-Quran pada usia tujuh tahun. Beliau menghafal kitab al-Muatta’ semasa berusia 11 tahun dan mampu mengeluarkan fatwa ketika berumur 15 tahun.
Sebab itu, kita mesti berusaha menjadikan masjid tempat yang mesra semua orang termasuk kanak-kanak. Janganlah hendaknya ada ahli jawatankuasa yang pantang tengok kanak-kanak bermain, mesti nak diherdik.
Apa yang kita tunjukkan kepada kanak-kanak ini akan mempengaruhi kehidupan mereka di masa depan. Janganlah kita menjadi punca, kanak-kanak yang suci dan tidak berdosa ini lari daripada masjid. Lebih parah, jika ‘lari’ itu dibawa sampai ke tua.-UTUSAN
MOHD. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.










