Saudara baharu aset penting dalam dakwah Islamiah di persada dunia dan negara. Senario dan perkembangan saudara baharu akhir-akhir ini melihatkan keutamaan pendakwah dan ilmuwan agama memberi didikan, bimbingan, panduan dan ilmu agama Islam dalam memotivasikan mereka sama ada di awal pengislamannya mahupun selepas mereka melafazkan dua kalimah syahadah.
Mereka kehausan ilmu Islam dalam membentuk jati diri muslimnya, pada masa yang sama pelbagai cabaran dan tahap psikologi perlu mereka lalui, yang menuntut kesabaran, ketabahan dan keredaan.
Pendekatan bagi menangani cabaran psikologi melihatkan saudara baharu mengidamkan sokongan sosial dan sokongan peribadi untuk membentuk mereka menjadi muslim sejati dan memenuhi hasrat kerajaan untuk melahirkan modal insan berkualiti.
Hasil kajian dan analisis kajian lapangan, penulis menemukan hakikat kehidupan khususnya cabaran dalaman dalam jiwa saudara baharu. Mereka diklasifikasikan mempunyai potensi tinggi untuk memikul dakwah Islamiah dan membawa pengembangan kepada sosiobudaya serta ekonomi umat Islam.
Beberapa cadangan dapat membantu pembangunan kualiti hidup mereka menuju kesejahteraan hidup.
Mereka berbahasa dengan bahasa bangsanya, memaklumi adat dan budaya kaum mereka serta memahami selok belok dakwah kepada kaum masing-masing akan dapat dimanfaatkan untuk pembangunan ummah melalui dakwah Islamiah.
Justeru, pelbagai pihak perlu mengambil perhatian dalam usaha membentuk kejiwaan saudara baharu, mendekati mereka dan membimbing mereka untuk menjadi pendakwah yang berkualiti di masa hadapan.
Keutamaan Ilmu
Reformasi saudara baharu kepada akidah Islamiah diyakini menuntut mereka akur kepada taklifan syariat Islam ke atas dirinya.
Segala cabaran dalaman mahupun luaran perlu dilalui dengan kesabaran dan keredhaan. Persediaan rapi dalam soal emosi, fizikal dan mental adalah langkah positif untuk menghadapi mehnah kehidupan di dunia.
Dalam usaha untuk menyesuaikan diri dengan cabaran psikologi dan cabaran dunia mengisyaratkan usaha berdakwah kepada masyarakat yang semakin hari semakin mencabar.
Iman, ilmu, amal
Kita sering mendengar kalimah ‘berilmu’, ‘beriman’ dan ‘beramal’.
Ketiga-tiga kalimah ini mempunyai konsepnya yang tersendiri.
Penggabungan ketiga-tiga konsep ini akan melahirkan insan berakidah benar, berakhlak mulia serta berdiri di atas landasan syariat yang benar-benar dituntut dalam ajaran Islam.
Dalam al-Quran terdapat banyak ayat yang menjelaskan tentang keutamaan ilmu. Allah berfirman bermaksud: Allah SWT mengangkat orang-orang yang beriman daripada golongan kamu semua dan juga juga orang-orang yang dikurniai ilmu pengetahuan hingga beberapa darjat, Allah SWT mengetahui apa yang kamu lakukan. (Al-Mujadalah: 11)
Ayat ini menjelaskan kepada kita Allah SWT mengangkat orang-orang yang beriman dan berilmu pengetahuan beberapa darjat.
Oleh yang demikian, untuk menjadi Muslim yang mukmin memerlukan ilmu pengetahuan sebagai alat panduan kehidupan.
Oleh itu, saudara baharu perlulah melengkapkan diri dengan ilmu agama Islam demi merealisasikan matlamat yang ditetapkan.
Tidak hanya berpegang kepada akidah yang sahih (Islam) sahaja malah memerlukan pengukuhan dan pemantapan akidah.
Saudara baharu perlu terima hakikat bahawa menuntut ilmu adalah satu kefarduan dan mendalami ilmu dengan mempelajari ilmu akan membawa kepada makrifatullah serta memberikan rasa takut kepada Allah SWT.
Menuntut ilmu ibadah
Menuntut ilmu adalah ibadah, mengulang-ulang ibarat bertasbih, pembahasannya merupakan jihad, mengajarkan kepada orang lain yang belum mengetahuinya merupakan sedekah dan menyerahkannya kepada ahlinya merupakan ‘pendekatan diri’ kepada Allah SWT.
Mengamalkan ilmu akan membezakan seseorang itu antara yang berilmu dan sebalik.
Metodologi dakwah
Secara tidak langsung ilmu yang sebati dengan amalan menjadi salah satu metodologi dakwah yang amat berkesan iaitu dakwah bil-hal.
Dengan kedudukan masyarakat kini, walaupun dakwah bil-lisan sering dipraktikkan oleh pendakwah, namun keberkesanannya masih kurang jelas.
Maka keutamaan dakwah bil-hal perlu diadaptasikan dalam kedudukan sosial hidup masyarakat kini, khususnya masyarakat Non Muslim di Malaysia.
Dalam Kitab Tanqih Al-Qawl Al-Hatsits bi Syarh Lubah Al-Hadith oleh Imam An-Nawawi menyebut tentang keutamaan orang yang berilmu:
Rasulullah SAW bersabda dengan mafhumnya: Seorang faqih (mereka yang alim dalam ilmu agama), wira’i (menjaga diri dari hal-hal yang diharamkan) adalah lebih sulit bagi godaan syaitan dibanding seribu ahli ibadah yang bersungguh-sungguh, tetapi jahil walaupun wira’i.
Dalam membahas tentang tidur orang yang berilmu dan ibadah ahli ibadah yang jahil Rasulullah SAW bersabda dengan mafhumnya: Tidurnya seorang yang berilmu (iaitu orang alim yang memelihara adab ilmu) lebih utama dari pada ibadahnya orang yang jahil (yang tidak memperhatikan adabnya beribadah).
Jelaslah bahawa dengan penguasaan ilmu pengetahuan dan mengamalkan akan membantu saudara baharu untuk keluar dari kegelapan akibat kejahilan ke jalan cahaya Allah SWT
Para sahabat Rasulullah SAW seperti Muadz bin Jabal RA pernah berkata: Belajarlah ilmu, sesungguhnya mempelajari ilmu adalah suatu kebaikan, menerokai ilmu adalah ibadah, mengingatnya adalah tasbih, manakala membahasnya suatu ilmu adalah jihad, menekuni terhadap ilmu adalah satu pengorbanan dan mengajarkan ilmu bermanfaat kepada orang yang tidak memiliki pengetahuan adalah sedekah.
Sahabat Rasulullah SAW Sufyan bin Uyainah RA berkata: Kedudukan tertinggi manusia di sisi Allah SWT adalah para Nabi dan ‘Ulama (orang yang berilmu).
Keluhuran orang yang berilmu terbukti apabila Allah SWT mengangkat kedudukan orang yang berilmu.
Para ulama menghabiskan sebahagian besar kehidupan dengan menghambakan diri di wahdah ilmu demi melestarikan ilmu yang bermanfaat kepada ummah dalam pelbagai displin ilmu,
Saudara baharu dianjurkan supaya mendedikasikan dan mengabdikan diri melestarikan ilmu dalam kehidupan selepas syahadah. – UTUSAN
- Penulis adalah Pensyarah Kanan di Pusat Kajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, UKM.










