Masjid al-Qiblatain

Masjid al-Qiblatain

Arah kiblat terkini dalam Masjid Qiblatain selepas turun wahyu supaya Nabi SAW menghadap ke Kaabah daripada Masjid Aqsa di Palestin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Masjid al-Qiblatayn adalah antara masjid yang sudah ada semenjak zaman Rasulullah SAW. Masjid Qiblatain bererti masjid dua kiblat ini adalah sebuah masjid yang telah menyaksikan pertukaran qiblat dari al-Masjid al-Aqsa ke al-Masjidilharam semasa solat sedang didirikan.

Masjid al-Qiblatain juga dikenali satu ketika dahulu dengan panggilan Masjid Bani Harom al-Kabir (Masjid Bani Harom Yang Besar) bagi membezakan antara masjid ini dengan Masjid Bani Harom al-Saghir (Masjid Bani Harom Yang Kecil) yang dikatakan adalah rumah Saidina Jabir bin ‘Abdulloh.

Pertukaran Kiblat Semasa Solat

Kitab Subul al-Huda Wa al-Ro-shad Fi Siroh Khoyr al-‘Ibad menyatakan bahawa semasa Rasulullah SAW tiba di al-Madinah, solat masih lagi dilaksanakan dengan mengadap Masjid al-Aqsa. Maka pada satu hari Rasulullah SAW menziarahi Saidatina Ummu Bishr binti al-Baro bin Ma‘rur yang tinggal di perkampungan Banu Salimah bin Sa‘d. Saidatina Ummu Bishr binti al-Baro menyediakan masakan untuk memuliakan kedatangan Rasulullah SAW ke rumah beliau.

Maka ketika tiba waktu solat zuhur, Rasulullah SAW dan para sahabat Baginda telah melaksanakan solat zuhur di sebuah masjid yang berada di perkampungan Banu Salimah bin Sa‘d. Ketika Rasulullah SAW sedang berada di rakaat ketiga, Allah SWT mewahyukan ayat ke-144 daripada surah al-Baqarah yang menyatakan bahawa kiblat telah ditukar dari Masjid al-Aqsa ke Masjidilharam.

Rasulullah SAW pun terus menukar arah kiblat Baginda ke Masjidilharam dengan cara baginda berpusing ke arah belakang masjid dan baginda juga berjalan dari arah dinding hadapan masjid yang ketika itu menghadap Masjid al-Aqsa menuju ke arah dinding belakang masjid yang ketika itu menghadap Masjidilharam.

Tindakan baginda diikuti oleh para makmum yang terdiri daripada orang lelaki dan orang perempuan dengan cara jemaah lelaki berpusing ke arah dinding belakang masjid dan mereka juga berjalan ke arah dinding belakang masjid agar mereka dapat berada betul-betul di belakang Rasulullah SAW yang sudah pun berada di dinding belakang masjid.

Jemaah lelaki juga setelah bergerak ke belakang sudah berada pula di hadapan jemaah perempuan. Adapun jemaah wanita, mereka memusingkan diri mereka ke arah dinding belakang masjid dengan memastikan kedudukan baharu mereka adalah berada di belakang jemaah lelaki.

Maka dua rakaat pertama solat zuhur yang dilaksanakan Rasulullah SAW dan para sahabat baginda ketika itu adalah dengan mengadap Masjid al-Aqsa manakala dua rakaat terakhir pula adalah dengan mengadap Masjidilharam.

Oleh kerana pertukaran kiblat semasa solat sedang dilaksanakan ini berlaku di dalam sebuah masjid di perkampungan Banu Salimah bin Sa‘d, masjid ini akhirnya dikenali dengan nama: Masjid al-Qiblatain (Masjid Dua Kiblat).

Pandangan Lain

Al-Shaykh Abdulloh Abu Dzikri mempunyai pandangan lain apabila beliau menyatakan penurunan ayat ke-144 surah al-Baqarah sebenarnya berlaku pada hari Jumaat 15 Syaaban tahun ke-2 Hijrah bersamaan 10 Februari 624 Masihi iaitu semasa Nabi SAW sedang berkhutbah Jumaat di Masjid Nabawi atau wahyu tersebut turun sebelum khutbah Jumaat.

Setelah selesai berkhutbah, Rasulullah SAW dan para sahabat melaksanakan solat Jumaat terakhir yang menghadap Masjid al-Aqsa. Maka solat yang mula-mula dilaksanakan oleh Nabi SAW dan para sahabat di dalam Masjid Nabawi secara menghadap Masjidilharam adalah solat asar pada hari tersebut.

Al-Shaykh Abdulloh Abu Dzikri sebelumnya menyatakan bahawa peristiwa Israk dan Mikraj yang mensyariatkan lima solat fardu secara menghadap Masjid al-Aqsa berlaku pada Jumaat malam Sabtu iaitu 27 Rejab tiga tahun terakhir sebelum hijrah bersamaan 8 Mac tahun 620 Masihi.

Sebenarnya bukan Masjid Qiblatain sahaja yang mempunyai dua kiblat bahkan masjid-masjid lama yang didirikan di Madinah sebelum berlaku perubahan kiblat ke Masjidilharam juga termasuk di dalam kategori masjid-masjid yang mempunyai dua kiblat. Antaranya adalah Masjid Nabawi sendiri, Masjid Quba’ dan Masjid Jum’ah atau nama lamanya Masjid Bani Salim bin ‘Awf.

Bahkan perkhabaran penukaran kiblat ini pernah tiba di satu masjid di Madinah yang dikenali ketika itu dengan nama Masjid Bani Harithah. Masjid ini pada zaman Nabi SAW dikenali dengan nama Masjid Bani Harithah kerana para sahabat baginda yang berketurunan al-’Aws daripada jurai Harithah bin al-Harith tinggal di kawasan sekitar masjid ini.

Masjid ini juga pernah menyaksikan perubahan kiblat dari Masjid al-Aqsa ke Masjidilharam. Semasa berita pertukaran kiblat sampai ke perkampungan Banu Harithah, para sahabat sedang melaksanakan solat asar dalam keadaan mereka telah melaksanakan dua rakaat yang terawal secara menghadap Masjid al-Aqsa.

Maka apabila berita tersebut disampaikan kepada mereka oleh Saidina Abbad bin Bishr bin Qoyziyy semasa mereka sedang solat asar, mereka terus menukar arah kiblat serta kedudukan jemaah lelaki dan perempuan lalu mereka menyempurnakan dua rakaat yang berbaki secara menghadap Masjidilharam.

Kisah ini telah direkodkan oleh al-Imam al-Tabrani menerusi sanad beliau: Daripada Saidatina Nuwaylah binti Muslim, beliau telah berkata: “Kami telah melakukan solat zuhur atau asar di Masjid Bani Harithah. Lalu kami telah menghadap Masjid Iliya (nama lain bagi Masjid al-Aqsa). Maka kami pun telah melaksanakan dua rakaat. Kemudian seseorang telah mendatangi kami dan menceritakan kepada kami bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW telah menghadap al-Bayt al-Harom (nama lain bagi Kaabah). Lalu orang-orang lelaki telah berubah ke tempat orang-orang perempuan dan orang-orang perempuan (pula) berubah ke tempat orang lelaki. Maka kami pun telah melaksanakan solat sebanyak dua rakaat yang berbaki dalam keadaan kami menghadap al-Bayt al-Harom”.

Situasi ini adalah sangat menarik kerana ia berlaku sama seperti situasi perubahan kiblat di Masjid al-Qiblatain. Apabila kisah para sahabat di Masjid Bani Harithah yang telah menukar arah kiblat kiblat semasa mereka sedang solat sampai di pengetahuan Nabi SAW, Baginda telah memuji mereka dengan bersabda: “Mereka adalah para lelaki yang telah beriman dengan perkara ghaib”.

Pada hari ini Masjid Bani Harithah lebih masyhur dengan nama Masjid al-Mustaroh yang bermaksud Masjid Tempat Rehat. Masjid ini mendapat nama sedemikian kerana dikatakan bahawa Nabi SAW semasa dalam perjalanan menuju ke medan Peperangan Uhud bagi menghadapi serangan musyrikin Mekah, Baginda telah berhenti sebentar di masjid ini setelah menanggung berat baju besi yang dipakainya.

Namun Dr. Kholid Muhammad Hamid berpendapat bahawa sebab masjid ini dinamakan dengan Masjid al-Mustaroh adalah kerana apabila Nabi SAW datang ke Wadi Uhud bagi menziarahi para syuhada Peperangan Uhud, baginda akan berehat sebentar di masjid ini untuk melepaskan lelah.

Rasulullah SAW selain daripada pernah berehat di dalam masjid ini, Baginda juga pernah menunaikan solat di dalamnya sebagaimana yang pernah diriwayatkan oleh al-Imam Ibnu Shabbah. – UTUSAN

  • PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×