MELAKA: Seorang bekas penjaga stor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memiliki barang kawalan berjadual tanpa lesen yang sah iaitu minyak diesel sebanyak 30,460 liter, dua tahun lalu.
Orang kena saman (OKS), Chee Hoe Kee, 54, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Dharmafikri Abu Adam.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh bersama dua lelaki warga Bangladesh, Md. Masud Rana dan Jamal Uddin didapati dengan niat secara bersama memiliki barang kawalan berjadual iaitu minyak diesel sebanyak 30,460 liter dalam keadaan yang menimbulkan syak dan telah melanggar Peraturan 3 (1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan minyak diesel secara runcit atau borong tanpa lesen.
Difahamkan, notis saman masih belum dapat diserahkan kepada dua lelaki warga asing berkenaan.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 4.30 petang di sebuah premis tanpa nama di Lot 2782, Jalan PK 26, Kawasan Perindustrian Krubong dalam daerah Melaka Tengah pada 1 September 2022.
Sabit kesalahan tertuduh boleh didenda maksimum RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali dan bagi kesalahan kedua denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pedakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Norhysham Md. Noor dan Muhammad Ashraf Ashruddin Ahmad Nazri menawarkan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan tidak berkemampuan kerana tidak bekerja.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 13 Mac ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN










