Perlis syor buka semula zon aliran bebas Wang Kelian

Perlis syor buka semula zon aliran bebas Wang Kelian

KERATAN laporan Utusan Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Kerajaan negeri akan menghantar kertas cadangan kepada kerajaan Persekutuan bagi mempertimbang pembukaan semula zon aliran bebas susulan keadaan di Wang Kelian, di sini kini telah selamat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Hubungan dan Kerjasama Sempadan negeri, Izizam Ibrahim berkata, ia bagi menghidupkan semula Wang Kelian sebagai salah satu lokasi tarikan pelancong khususnya bersempena Tahun Melawat Perlis.

“Kita akan suarakan beberapa cadangan penambahbaikan bukan bertujuan mendesak pembukaan semula zon aliran bebas ini sahaja namun kerajaan negeri mengharapkan sedikit ruang agar dapat menghidupkan semula kawasan ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kerajaan negeri juga ada cadangan antaranya dengan meletakkan syarat agar pelancong dari luar negara yang masuk ke negeri ini mungkin boleh menetap di sini untuk satu malam,” katanya.

Semalam, akhbar ini melaporkan, selepas sembilan tahun, Ketua Polis negeri, Datuk Muhammad Abdul Halim bersama wartawan melakukan tinjauan semula ke lokasi penempatan sementara dan kubur besar yang menempatkan 139 mayat di Bukit Wang Burma di Wang Kelian yang pernah menjadi isu pemerdagangan manusia terbesar dalam sejarah negara.

Hasil pemantauan dan tinjauan tersebut, Muhammad memaklumkan bahawa tiada lagi sebarang aktiviti jenayah di kawasan itu malah tapak berkenaan juga adalah merupakan kes penemuan terakhir pada tahun 2015.

Menurut Izizam, terdapat beberapa cadangan diketengahkan oleh beberapa pihak sebelum ini bagi pembangunan di kawasan Wang Kelian namun pelaksanaan itu melibatkan tempoh jangka masa panjang.

Katanya, sekiranya zon aliran bebas beroperasi semula, ia bukan sahaja dapat menarik kehadiran pelancong malah memberi limpahan ekonomi khususnya buat penduduk setempat.

“Bayangkan pada tahun 2013 dan 2014 lalu ramai pelancong masuk ke sini setiap kali cuti hujung minggu namun keadaan itu berubah selepas zon aliran bebas ditutup. Jadi kerajaan negeri sememangnya amat mengharapkan agar zon aliran bebas ini dapat beroperasi semula demi manfaat banyak pihak,” katanya.

Sementara itu, Izizam juga mencadangkan agar lokasi penemuan mayat dan kem tahanan tersebut dibangunkan dengan pembinaan replika kem tahanan dan kubur tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini