PETALING JAYA: Kemerosotan kualiti sistem pendidikan negara tidak seharusnya dipertanggungjawabkan sepenuhnya kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek kerana ia sudah berlaku sejak beberapa tahun lalu dan Fadhlina mewarisi beban tersebut.
Setiausaha Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan, Majlis Profesor Negara (MPN), Dr. Anuar Ahmad berkata, kemerosotan tersebut bukan lagi persepsi dan andaian semata-mata tetapi sudah menjadi realiti pahit yang perlu ditelan.
Kata beliau, kemerosotan tersebut bermula sejak beberapa tahun lalu dan ia berpunca daripada kelemahan dasar dan sistem yang diamalkan oleh negara untuk satu jangka masa yang lama serta ditambah kegagalan memulihkan sistem tersebut
“Adakah beban kemerosotan ini sepenuhnya atas bahu Menteri Pendidikan (Fadhlina) sekarang? Tentulah tidak. Malah dalam banyak isu pendidikan yang sedang berlaku, bukan pun bermula di era beliau. Hampir kebanyakan adalah beban yang terpaksa diwarisi.
“Jadi sebagai rakyat yang bertanggungjawab, kita haruslah lebih berhati-hati ketika menuding jari mencari punca dari siapa sebenarnya?” katanya di dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, Perdana Menteri berkata, negara tidak boleh berada dalam keadaan penafian mengenai sistem pendidikan negara ketika ini.
PENDIDIKAN
Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan kebimbangannya terhadap pendidikan di negara ini yang mana sedang menghadapi kemerosotan ketara.
Mengulas lanjut, Dr. Anuar berkata, kemorosotan tersebut tidak sepatutnya dinafi mahupun dipertahankan kerana sistem pendidikan negara tidak seperti beberapa pihak yang mengatakan ia berada dalam keadaan ‘luar biasa’.
“Sikap menafikan pendidikan negara merosot sedangkan berbagai data rasmi mengesahkan kemerosotan sedang berlaku adalah satu tindakan yang tidak bijak. Malah ini akan menjauhkan rasa hormat dan kepercayaan orang kepada kita.
“Saya berulang kali secara terbuka mengingatkan situasi ini akan terus berlaku. Akhirnya seperti dijangkakan, keputusan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) mengesahkan kualiti pendidikan negara memang sedang merudum,” katanya.
Untuk rekod, Malaysia mencatat keputusan yang menyedihkan di dalam PISA iaitu menjadi negara paling buruk di ASEAN iaitu dipintas oleh Kemboja dan Filipina dalam subjek Matematik, Sains dan membaca.- UTUSAN










