BANGI: Institusi Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) perlu memberi tumpuan kepada bidang khusus atau niche program yang boleh diketengahkan di peringkat nasional dan antarabangsa.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, MRSM bukan sahaja perlu cemerlang dalam akademik, malah menyerlah dalam bidang lain seperti debat, robotik dan teknologi tinggi.
“Setiap MRSM perlu mengenal pasti kekuatan masing-masing di luar akademik.
“Kita mahu mereka ada niche area supaya boleh diketengahkan ke persada dunia,” katanya pada Majlis Anugerah Kecemerlangan MRSM, hari ini.
Tambahnya, pelajar lahir bukan sahaja perlu cemerlang dalam akademik, malah pemimpin masa depan yang berakhlak, berprinsip dan berjati diri.
“Pelajar MRSM bukan sekadar pencapai semua A, tetapi juga pemikir, pemimpin dan ejen perubahan. Pembangunan sahsiah menjadi teras utama sistem pendidikan institusi itu untuk memastikan pelajar berkembang dari segi intelek, emosi, rohani dan jasmani,” tegasnya.
Terdahulu, Mara meraikan seramai 243 penerima terdiri daripada 103 pelajar dan 130 guru sekali gus mencerminkan komitmen komuniti MRSM dalam merealisasikan aspirasi MARA dan Malaysia MADANI. – UTUSAN










