'Jerat' warga asing berniaga

‘Jerat’ warga asing berniaga

J. ARUL Kumar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pelaksanaan syarat-syarat tambahan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini dalam pengeluaran lesen perniagaan dilihat memberikan impak khususnya dalam usaha mengambil tindakan terhadap isu perniagaan diuruskan warga asing.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar berkata, selepas pelaksanaan syarat itu, operasi yang dijalankan oleh PBT khususnya Majlis Bandaraya Seremban (MBS) pastinya membuahkan hasil dan tindakan undang-undang dapat diambil lebih baik.

“Sejak bulan November tahun lalu tindakan penguatkuasaan MBS diambil secara agresif, setiap hari pasti ada tindakan yang diambil. Saya sendiri berpuas hati melihat perkembangan ini.

“Saya mahu tindakan dilakukan berterusan supaya matlamat untuk menangani perniagaan dijalankan tanpa lesen dan diuruskan warga asing dapat dicapai,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri Sembilan mengambil langkah tegas dengan mengenakan beberapa syarat tambahan dalam pengeluaran lesen perniagaan oleh PBT.

Tindakan tersebut antaranya bagi mengekang aktiviti ‘ali baba’ ataupun salah guna lesen perniagaan yang dikeluarkan kepada rakyat tempatan, namun disewakan pula kepada warga asing khususnya dalam sektor peruncitan.

Antara syarat-syarat tambahan itu ialah setiap pemohon lesen perlu mendaftar dan mendapatkan nombor fail Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terlebih dahulu dan mengemukakannya kepada PBT bagi membolehkan permohonan tersebut diproses.

Seterusnya, setiap premis perniagaan hanya akan diluluskan satu jenis perniagaan dan perniagaan yang berkaitan.

Pemilik lesen perniagaan atau wakil warga tempatan juga perlu berada di premis pada setiap masa operasi perniagaan selain warganegara asing adalah tidak dibenarkan untuk bertugas sebagai juruwang.

Baru-baru ini Utusan Malaysia melaporkan hampir 40 buah premis perniagaan di daerah ini diarahkan tutup serta-merta sepanjang tahun lepas selepas didapati diuruskan oleh warga asing. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×