Muatan timah 30 tan bernilai RM80,000 dilarikan penyamun - Utusan Malaysia

Muatan timah 30 tan bernilai RM80,000 dilarikan penyamun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Seorang pemandu lori berdepan detik cemas apabila dirinya diikat dan ditinggalkan di kebun kelapa sawit, sementara muatan timah bernilai RM80,000 yang dibawa dilarikan penyamun dalam kejadian di Jalan Pilin, Pedas, di sini pada hari Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8. 45 malam itu, difahamkan, mangsa iaitu lelaki berusia lingkungan 50-an ditinggalkan lebih empat jam di dalam kawasan ladang dalam keadaan terikat dan berjaya keluar selepas mendapatkan bantuan rakan di kilang kira-kira pukul 1 pagi.

Menurut Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Hazri Mohamad, pihaknya menerima laporan mangsa di Balai Polis Kota dini pada pukul 4.43 pagi hari Jumaat lalu dan telah menemui treler yang disamun di tepi jalan Tampin-Linggi.

“Bagaimanapun, muatan logam timah yang dianggarkan sebanyak 13 ketul iaitu bersamaan 30 tan bernilai RM80,000 telah tiada dan dipercayai diambil suspek.  

“Kejadian mangsa diserang lebih tiga lelaki berlaku di pintu pagar kilang ketika mangsa mahu membuka pintu separuh tertutup dan bergerak keluar dari kilang untuk menghantar muatan di sebuah kilang di Kota,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Ujar Hazri lagi, mangsa kemudiannya telah diikat menggunakan pita pelekat di bahagian mata dan kedua-dua tangan menghala hadapan.

“Selepas itu, mangsa dibawa masuk ke dalam kebun sawit lebih kurang satu kilometer dan telah ditinggalkan di dalam kebun sawit,” katanya.

Menurutnya, usaha mengesan pelaku sedang dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×