Cuaca panas terik dorong kenaikan kes kebakaran - Utusan Malaysia

Cuaca panas terik dorong kenaikan kes kebakaran

HASSAN ‘As ‘ari Omar (tengah) bergambar bersama pengamal media yang menerima sijil penghargaan pada majlis Perhimpunan Tahunan JBPM di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu merekodkan sebanyak 935 kes kebakaran di kawasan hutan, kebun, ladang dan belukar sepanjang tahun lalu.

Pengarah JBPM Terengganu, Hassan ‘As’ari Omar berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan hampir dua kali ganda berbanding 340 kes yang dilaporkan pada 2022 di lokasi sama.

Beliau berkata, daripada 935 kes diterima itu, 832 kes membabitkan kebakaran di kawasan belukar dan lalang, 92 kes di kawasan hutan dan 11 kebakaran di kawasan kebun atau ladang.

Menurutnya, faktor cuaca panas terik mendorong kenaikan kes kebakaran di kawasan berisiko selain sikap segelintir masyarakat yang masih melakukan pembakaran terbuka.

“JBPM Terengganu menjangkakan jumlah kes kebakaran di kawasan berkenaan akan bertambah tahun ini susulan cuaca panas terik yang dijangka melanda seluruh negara bermula April.

“Kami akan terus bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Perhutanan dan Jabatan Meteorologi Malaysia sebagai persiapan menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.

Hassan ‘As’ari berkata demikian selepas Majlis Perhimpunan Tahunan JBPM negeri dan majlis penyerahan sijil penghargaan kepada pengamal media di Ibu Pejabat JBPM Terengganu di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, JBPM negeri telah mengenal pasti 10 lokasi berisiko berlaku kebakaran susulan cuaca panas terik membabitkan kawasan belukar, hutan, kebun dan tempat pelupusan sampah.

Antaranya empat lokasi di Setiu iaitu Kampung Telaga Papan, Lembah Bidong, Kampung Saujana dan Kampung Merang selain Kampung Rantau Abang di daerah Dungun.

Menurut Hassan ‘As’ari, dua lagi lokasi di Marang turut dikenal pasti berisiko berlaku kebakaran akibat cuaca panas iaitu kawasan lalang di Kampung Jambu Bongkok dan Kampung Kelulut.

“Di Kuala Nerus juga terdapat tiga titik panas iaitu Kampung Gong Badak, Tok Jembal dan Kampung Batu Rakit manakala satu lagi kawasan di Dungun, Kampung Rantau Abang,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×