MENJADI pelengkap kepada kehidupan seseorang, nama begitu memainkan peranan penting yang menjadi tanda pengenalan dan membezakan antara satu individu dengan individu lain.
Pun begitu, pernahkah anda terfikir nama yang ibu bapa anda berikan, dari manakah sumber inspirasinya hadir?
Sama ada hadirnya dengan maksud yang baik-baik, nama juga adakala diilhamkan daripada sesuatu perkara, suasana, benda mahupun apa sahaja yang unik di sekeliling kita.
Jangan tidak percaya, ada juga nama yang begitu tidak masuk akal hingga membuatkan orang lain yang menyebutnya juga berasa canggung dengan panggilan si pemilik.
Selebriti Hollywood juga ada yang memiliki nama yang unik. Lebih menarik, ilham daripada nama yang diberikan itu juga unik untuk dikongsikan.

INSPIRASI PEMUZIK TERKENAL
RASANYA, ramai boleh meneka, dari mana datangnya sumber inspirasi nama yang diberikan oleh ibu bapa penyanyi terkemuka antarabangsa, Taylor Swift hingga dia juga terkena tempias glamor dan populariti sebagaimana individu terbabit.
Dalam satu temu bual bersama media sebelum ini, penyanyi kelahiran Pennsylvania, Amerika Syarikat ini memaklumkan bahawa namanya diambil sempena pemuzik dan penyanyi terkenal, James Taylor.
Ibu bapanya iaitu Andrea dan Scott Kingsley Swift begitu menyanjungi James Taylor dan karya-karya muziknya hingga akhirnya menamakan anak perempuan mereka dengan Taylor. Nama yang membawa tuah? Sudah tentu!

SEMPENA LUKISAN AGUNG
JIKA anda masih tertanya-tanya mengapa nama pelakon filem Titanic dan The Wolf Of The Wall Street ini sedemikian rupa, ini adalah jawapannya.
Menurut satu daripada temu bual yang pernah dijalankan oleh portal Deadline bersama pelakon ini, Leonardo ada berkongsi bahawa namanya unik kerana diilhamkan sempena seorang pelukis terkenal bertaraf legenda dunia.
Siapa lagi kalau bukan Leonardo Da Vinci. Kata Leonardo Dicaprio, sewaktu ibu sedang hamilkannya, dia sempat merasakan tendangan yang sangat kuat ketika sedang menatap lukisan da Vinci di muzium. Menarik bukan?

JENAMA KERETA
SIAPA sangka, penyanyi yang popular dengan lagu Old Town Road dan That’s What I Want ini sebenarnya diambil daripada sebuah jenama kereta keluaran Jepun!
Menurut Lil Nas atau nama sebenarnya, Montero Lamar Hill, ibunya, begitu menginginkan sebuah kereta Mitsubishi Montero tetapi tidak pernah mendapatkannya kerana tidak mampu.
“Malu juga nak kongsikan perkara ini kepada umum, tetapi sebenarnya nama saya ini diilhamkan daripada kenderaan tersebut. Ibu saya terlalu menginginkannya tetapi tak mampu.
“Jadi, ketika saya dilahirkan, dia tanpa berfikir panjang, menamakan saya sempena hasrat memiliki kereta berkenaan,”katanya.

JENAMA KOSMETIK
PENYANYI, Ciara, mengakui nama pentas yang digunakan sejak menceburi bidang seni hiburan pada tahun 2001 sebenarnya diilhamkan daripada sebuah jenama kosmetik terkemuka dunia, Revlon.
Kata Ciara atau nama sebenarnya Ciara Princess Wilson Harris, 39, dia selesa menggunakan nama itu selepas ibunya memaklumkan, namanya diambil sempena satu daripada rangkaian minyak wangi Revlon iaitu Ciara.
Kata Ciara, ibunya jatuh cinta dengan nama tersebut yang disifatkan indah selain cukup menggemari bauan minyak wangi Ciara.

INSPIRASI NAMA TEMPAT
AKTRES, Winona Ryder pula mendedahkan, sewaktu dia dilahirkan 52 tahun lalu, ibu dan bapanya terinspirasi dengan sebuah bandar ketika melewati kawasan tersebut sekitar 1970-an di Amerika Syarikat.
Menurut Winona, ketika berada di tempat tersebut, ibunya terjumpa sekeping brosur yang memaparkan seorang budak perempuan di muka depannya dengan tulisan ‘The Legend of Winona’.
“Tak lama kemudian, ibu masuk wad bersalin dan menamakan saya dengan Winona. Sedangkan pada awalnya, dia dan ayah mahu meletakkan nama saya Laura,“katanya dalam satu temu bual dengan media antarabangsa.











