KUALA LUMPUR: Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), Kolej Universiti Lincoln (Lincoln) melaksanakan pelan transformasi pendidikannya dengan memperkasakan program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Pelan tersebut bagi membolehkan mahasiswanya mempersiapkan diri dengan kemahiran dan kepakaran dalam bidang pekerjaan mereka.
Menurut Canselornya, Profesor Dr. Norman Madsen, Lincoln melaksanakan agenda tersebut bagi memastikan graduan yang lahir daripada institusi itu memenuhi ketetapan syarikat atau bakal majikan mereka.
“Lincoln memberi fokus kepada pemerkasaan TVET selaras dengan agenda kerajaan yang mahu mengukuhkan aliran pembelajaran tersebut.
“Kami juga merancang untuk bekerjasama dengan lebih banyak syarikat berkaitan TVET supaya dapat menempatkan graduan dalam bidang pekerjaan yang berkaitan kelak.
“Hala tuju dalam kehidupan adalah penting untuk dijadikan sebagai panduan tentang cara anda harus hidup, apakah nilai, dan cara berkelakuan, apakah prinsip yang anda ingin tunjukkan dalam kehidupan anda bergerak ke hadapan?” katanya ketika berucap dalam majlis konvokesyennya baru-baru ini.
Tambahnya, Lincoln merupakan pusat pengajian tinggi bertaraf dunia yang memfokuskan kepada pasaran global. Seramai 439 Graduan dari sembilan fakulti pengajian beserta pusat pengajian pasca siswazah.
Daripada jumlah itu, seramai 60 graduan menerima ijazah doktor falsafah (PhD) sarjana (169), sarjana muda (167) diploma (34) dan Sijil Pos Asas Perawatan Renal (9).
Dalam pada itu, Presiden Kolej Universiti Lincoln, Profesor Dr. Amiya Bhaumik memaklumkan institusi itu mempunyai program ‘double degree’, sekali gus menjadikannya sebagai sebuah hub pendidikan yang terbaik di ASEAN.
Malah, pusat pengajian itu juga dalam masa yang sama turut memberi fokus dalam membantu pelajar asnaf B40 dari segi bantuan tajaan pelajaran daripada Yayasan Lincoln milik Kolej Universiti Lincoln.
“Ramai pelajar Jurusan Kejururawatan Lincoln ditaja sepenuhnya oleh hospital-hospital swasta di Malaysia yang mempunyai masalah kekurangan jururawat untuk mereka terus bekerja di sana,” ujarnya. – UTUSAN










