SEPANG: Skuad hoki lima sebelah (5s) negara bakal mendapat durian runtuh RM3.9 juta untuk program pembangunan pasukan lelaki dan wanita.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, permohonan bajet kepada Kementerian Kewangan dan kini pihaknya sedang menunggu kelulusan.
Hannah berkata, peruntukan yang bakal diberikan bermula tahun ini adalah sebagai persediaan untuk mempersiap pasukan untuk kempen Piala Dunia akan datang.
“Saya sudah memberi taklimat ringkas kepada jemaah menteri mengenai pencapaian mereka (bergelar naib juara di Piala Dunia Hoki 5s 2023 di Muscat, Oman kelmarin).
“Persiapan yang kita perlu buat sekarang adalah memastikan untuk Piala Dunia akan datang, segala persiapan untuk mereka sudah ada kerana kesedaran mengenai kejohanan ini sudah bermula.
“Kita tidak mahu persediaan hanya dilakukan pada 2027 atau 2026. Jadi, saya bersama MSN sudah hantar permohonan bajet tambahan yang berjumlah RM3.9 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyambut kepulangan skuad hoki negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur yang turut dihadiri Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal.
Dalam perkembangan sama Hannah turut mengumumkan skuad hoki 5s negara juga bakal menerima ganjaran menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) bernilai RM80,000.
Selain itu katanya, pihaknya juga akan membayar semula semua perbelanjaan yang sudah dikeluarkan oleh KHM untuk mempersiapkan pasukan hoki 5s negara ke Oman.
““Kita sudah minta KHM menghitung segala perbelanjaan digunakan ke sana (Muscat) dan menghantarnya kepada MSN untuk kita membuat pembayaran semula.
“Saya yakin pasukan ini akan mendapat sokongan daripada kerajaan malah semalam Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) juga mengucapkan tahniah barisan pemain,” katanya. – UTUSAN










