PETALING JAYA: Kesatuan Ragbi Sabah (SRU) membuat keputusan berani tidak mengiktiraf keputusan Mesyuarat Agung Tahunan Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Disember tahun lalu.
Presiden SRU, Vela Tan berkata, pihaknya terpaksa membuat keputusan itu memandangkan isu kewangan dibangkitkan berlarutan lebih setahun, namun masih belum ada penyelesaian.
Lebih menghairankan, Vela mendedahkan, jumlah sebenar tidak dijelaskan secara terperinci biarpun ada laporan mendakwa ia melibatkan dana antara RM2 juta sehingga RM7 juta.
Katanya, SRU telah mengirim tiga pucuk surat kepada KRM bermula Jun lalu bagi meminta laporan kewangan yang telah diaudit, namun tiada sebarang jawapan.
Beliau mendakwa, Pesuruhjaya Sukan juga tidak memberi maklum balas apabila SRU juga meminta penjelasan mengenai keabsahan Mesyuarat Agung Tahunan tersebut.
“Saya tidak boleh berada dalam badan induk ini dengan memegang jawatan tetapi dalam masa yang sama mengetahui ada perkara yang tidak betul sedang berlaku.
“Kami sudah berulang kali meminta penjelasan, namun sehingga kini semua pihak berdiam diri. Sebagai ahli dalam KRM, kami berhak mendapat penjelasan mengenai perkara ini.
“Ketika Mesyuarat Agung Tahunan Disember lalu, kami telah membuat usul agar exco terdahulu perlu bertanggungjawab tentang penyelewengan ini, namun pada saat akhir, ia tidak dibentangkan. Kami ambil keputusan untuk memulaukan mesyuarat itu dan tidak mengambil bahagian.
“Jadi kami meminta agar Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh campur tangan agar masalah ini dapat diselesaikan. Jika berlarutan, Ragbi Asia mungkin campur tangan dan KRM mungkin akan digantung. Jika ia berlaku, ini akan menjejaskan masa depan para pemain kita,” jelas Vela dalam satu sidang media khas, semalam.
Sebagai tanda protes, Vela telah meletakkan jawatannya sebagai Naib Presiden Kehormat KRM selain berkata, SRU juga tidak akan menyertai sebarang kejohanan anjuran KRM pada tahun ini antaranya Piala Agong. – UTUSAN










