Westports catat untung bersih RM779.43 juta, meningkat 11.4%

Westports catat untung bersih RM779.43 juta, meningkat 11.4 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keuntungan bersih Westports Holdings Bhd. meningkat kepada RM779.43 juta pada tahun kewangan 2023 (TK2023) didorong oleh pengendalian jumlah kontena yang tinggi sebanyak 10.88 juta TEU.

Pengarah Urusan Kumpulan Westports, Datuk Ruben Emir Gnanalingam Abdullah berkata, keuntungan itu peningkatan sebanyak 11.4 peratus berbanding RM699.58 juta pada TK2022.

Beliau berkata, Kumpulan meraih hasil tertinggi bagi tahun dalam tinjauan berjumlah RM2.15 billion, peningkatan 4 peratus daripada RM2.07 bilion tahun sebelumnya.

“Hasil itu berikutan Westports mengendalikan 10.88 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) kontena pada tahun itu dan sejutu TEU pada Disember,” katanya dalam kenyataan.

Keuntungan bersih bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2023 (Q4TK2023), bagaimanapun susut 12.3 peratus kepada RM206.08 juta daripada RM235.04 juta tempoh sama tahun sebelumnya.

Menurut Ruben, penyusutan itu disebabkan gabungan hasil terhadap rosot nilai ketara pada suku sama 2022 dan pendapatan sesaham turun pada 6.04 sen daripada 6.89 sen.

“Namun, hasil suku tahunan meningkat 6.3 peratus kepada RM554.06 juta daripada RM521.14 juta setahun sebelum­nya berikutan hasil kontena yang lebih tinggi,” katanya.

Katanya, tempoh konsesi Westports dilanjutkan selama 58 tahun sehingga 2082 selepas pemeteraian perjanjian konsesi baharu dengan pihak berkuasa baru-baru ini.

Mengenai prospek TK2024, Kumpulan itu kekal berhati-hati dengan meramalkan kadar pertumbuhan satu digit dalam pengendalian kontena berbanding tahun sebelumnya.

Jelasnya, perkara itu berikutan konflik yang melangkaui Asia Barat dan penurunan mendadak pertumbuhan ekonomi di kebanyakan ekonomi maju utama.

Katanya, landskap ekonomi pada tahun lepas berlatar belakangkan kenaikan kadar faedah.

“Prospek kadar yang stabil atau lebih rendah pada tahun semasa boleh memberi beberapa penampan kepada penggunaan kontena pengguna,” katanya

Sementara itu, Westports mengumumkan dividen interim satu peringkat kedua sebanyak 8.72 sen sesaham bagi TK2023 yang akan dibayar pada 29 Februari 2024, menjadikan jumlah dividen bagi tahun berkenaan kepada 16.91 sen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×