KOTA KINABALU: Usaha membendung dan menyekat kegiatan jenayah rentas sempadan di perairan pesisir pantai Sabah terus dipertingkat dengan tambahan aset baharu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang diterima semalam.
Majlis penyerahan empat buah bot pemintas laju atau Fast Interceptor Craft (FIC) G2000 Mk II oleh Gading Marine Industry Sdn. Bhd. (GMISB) kepada TLDM itu direalisasikan di Pangkalan TLDM, Sepanggar.
Perolehan FIC G2000 Mk II melibatkan tiga fasa dengan jumlah keseluruhan aset yang akan diterima sebanyak 13 buah bot dan diserahkan secara berperingkat.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hadir bagi menyaksikan dan menyempurnakan majlis penyerahan aset baharu TLDM yang diserahkan oleh Pengarah Urusan GMISB, Datuk Ir Jamalolail Mohd. Yatim kepada Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob.
Kesemua empat bot pemintas laju itu akan ditempatkan di Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2), Sandakan bagi memperkasa tahap keselamatan maritim terutama di perairan Sabah Timur selain bertindak sebagai aset pelengkap kepada TLDM.
Bot pemintas laju atau FIC ini direka khas dengan ciri-ciri kecekapan, kelajuan, dan ketepatan bagi membolehkan TLDM bertindak dengan pantas dalam mencegah aktiviti jenayah yang berlaku di dalam perairan negara.
Aset-aset sebegini terbukti efektif dalam membendung aktiviti rentas jenayah di sempadan termasuk mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI), penyeludupan, rompakan laut, pemerdagangan manusia dan pencerobohan nelayan asing terutamanya di perairan yang mempunyai kedalaman terhad atau cetek.
Pada fasa pertama ini, syarikat GMISB menyerahkan empat buah FIC G2000 Mk II yang berjaya disiapkan dalam tempoh 16 bulan dan ia dibina sepenuhnya di fasiliti limbungan GMISB di Sitiawan, Perak.
Berbanding FIC terdahulu, FIC G2000 Mk II ini adalah unik kerana ia dilengkapi dengan Remote Control Weapon Station (RCWS) Escribano yang membolehkan penembakan senjata jenis CANiK M2 Quick Change Barrel (QCB) 12.7mm Heavy Machine Gun (HMG) dilaksanakan secara automatik.
FIC G2000 Mk II dengan panjang 18 meter ini juga dilengkapi dengan enjin yang lebih berkuasa dan berkemampuan untuk mencapai kelajuan sehingga 52 knot. – UTUSAN










