Ibu reda anak ‘pergi’ ketika sedang berkhidmat

Ibu reda anak ‘pergi’ ketika sedang berkhidmat

RUZITA Zulkifli (tengah) ditenangkan oleh ahli keluarga ketika hadir ke Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, hari ini. -UTUSAN/JAMLIAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: “Saya reda arwah anak ‘pergi’ pada hari Jumaat dan ketika sedang berkhidmat untuk negara.”

Demikian ungkap ibu kepada salah seorang anggota tentera yang maut dalam kemalangan di  Kilometer 77.5 Lebuhraya Utara Selatan dekat Gurun di Kuala Muda, hari ini.

Menurut Ruzita Zulkifli, 58, anaknya, Allahyarham Lans Koperal Mohd. Hafiz Haris, 30, meninggal dunia pada hari yang mulia dan ketika sedang berkhidmat dengan pasukan keselamatan negara, Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

IKHLAS

“Saya reda dan ikhlas bahawa arwah sudah tiada. Tetapi arwah pergi hari Jumaat yang mulia dan ketika bertugas. Saya cuma nak bisik di telinga dia cakap saya sudah maafkan dia dan halalkan semuanya makan minum dan susu saya. Itu sahaja.

“Mungkin betul orang cakap, kalau orang baik Allah akan ambil dahulu,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.

Menurut Ruzita, kali terakhir dia bertemu dengan anak kedua daripada empat beradik itu adalah pada Rabu lepas.

“Masa itu kami pergi ke rumahnya di Pengkalan Hulu, Perak dan Isnin sebelum itu arwah dan isterinya (Nur Hasni Ishak, 32) datang melawat kami di Bukit Selambau. Dia tak menunjukkan sebarang tanda-tanda dan riang macam selalu,” ujarnya.

Menurutnya, Mohd. Hafiz yang sudah tiga tahun mendirikan rumah tangga baru beberapa bulan lepas berpindah dari rumah mereka di Bukit Selambau untuk menetap berasingan berdekatan dengan Kem Pengkalan Hulu.

“Arwah seorang anak yang baik dan tidak pernah membantah cakap kami,” katanya. 

Bercerita lanjut, katanya, mereka mendapat berita tentang kematian Mohd. Hafiz kira-kira pukul 11.30 pagi tadi.

“Ketika itu adiknya yang dapat panggilan dan saya mula tak percaya. Saya sendiri hampir pengsan. Memang tak percaya bahawa dia sudah tak ada. Masih terbayang-bayang wajahnya ketika kali terakhir kami berjumpa,” katanya. 

Tambahnya, arwah yang bertugas di Batalion 3 Rejimen Sempadan Kem Pengkalan Hulu itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Wajdi, Bukit Selambau selepas urusan bedah siasat selesai hari ini.

Akhbar ini melaporkan tiga anggota tentera maut dalam kemalangan membabitkan tiga buah trak tentera dengan sebuah lori di Kilometer 77.5, Lebuhraya Utara Selatan arah utara. 

Dua lagi anggota tentera yang maut dalam kejadian itu ialah Sarjan Razali Abdul Rani, 39, dan Koperal Mohd. Asri Idris, 40, yang kesemua mereka dalam perjalanan ke Kem 30 Briged, Perlis.

Sementara itu, pekarangan Jabatan Forensik HSB kelihatan hiba dengan kehadiran anggota keluarga dan rakan-rakan mangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×