PETALING JAYA: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS hari ini selepas Rizab Persekutuan (Fed) memutuskan untuk mengekalkan kadar faedahnya pada 5.5 peratus.
Pada pukul 9.05 pagi, ringgit menambah nilai kepada 4.7280/7325 berbanding dolar AS, berbanding kadar penutup kelmarin pada 4.7305/7355, memetik laporan Bernama.
Pasaran ditutup semalam sempena cuti Hari Wilayah.
Menurut Pedagang ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz, melihat dari perspektif teknikal, pasangan dolar-ringgit AS telah mencapai tahap rintangan yang ketara pada carta harian khususnya pada paras 4.7300.
Kata beliau, pPenunjuk indeks kekuatan relatif baru-baru ini melebihi paras 70, menunjukkan bahawa pembeli mungkin menjadi `letih’ selepas aliran menaik diperhatikan sejak beberapa hari lalu.
“Sekiranya harga berjaya menembusi bawah 4.7200, ada kemungkinan dolar AS boleh turun kepada sekitar 4.6500 dalam masa beberapa hari,” katanya.
Beliau menambah, pelabur juga berkemungkinan akan memantau dengan teliti pengeluaran data gaji bukan ladang AS, kerana data pekerjaan memainkan peranan penting dalam membentuk keputusan dasar monetari Fed.
Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia lebih rendah berbanding yen Jepun pada 3.2319/2350 daripada 3.2021/2057 kelmarin. Ringgit juga susut nilai berbanding pound sterling kepada 6.0268/0325 daripada 5.9935/9999 dan susut berbanding euro kepada 5.15408/1456 daripada 5.1198/1252 sebelumnya.
Mata wang tempatan juga didagangkan lebih rendah berbanding mata wang ASEAN.
Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.5371/5407 daripada 3.5302/5342 kelmarin, susut nilai berbanding baht Thailand kepada 13.3726/3913 daripada 13.3321/3511 sebelumnya.
Ia juga lebih rendah berbanding rupiah Indonesia pada 299.8/300.3 berbanding 299.6/300.2 kelmarin, dan susut berbanding peso Filipina kepada 8.44/8.46 daripada 8.40/8.41 sebelumnya. – UTUSAN










