SEREMBAN: Seramai tujuh warga asing yang tidak mempunyai dokumen sah ditahan dalam Operasi Bersepadu Warga Asing Majlis Bandaraya Seremban (MBS) bersama Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sembilan (JIMNS) di sini semalam.
Sebanyak tiga premis perniagaan iaitu di Jalan Sheikh Ahmad dan Sungai Gadut telah diperiksa MBS dan JIM dalam operasi berkenaan.
Datuk Bandar MBS, Datuk Masri Razali berkata, dalam pemeriksaan di lokasi pertama, pihaknya juga telah mengeluarkan notis sitaan ke atas sebuah kedai.
Jelas beliau, sitaan dilakukan kerana disyaki pemilik perniagaan adalah warga asing berbangsa Nepal dan telah menjalankan perniagaan makanan dan minuman tanpa lesen daripada pihak MBS.
“Pemeriksaan lanjut juga mendapati terdapat lebih kurang 15 warga asing sebagai pelanggan dan meminum minuman beralkohol.
“Berikutan itu, pihak Imigresen telah menahan tujuh warga asing dan akan disiasat dibawah Kesalahan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen perjalanan yang sah.
“Kesemua mereka yang berusia lingkungan 21 hingga 39 tahun itu telah ditahan dan diletakkan di Depot Imigeresen Lenggeng, Negeri Sembilan,” katanya.
Masri menambah, menerusi pemeriksaan sama, pihak MBS telah merampas barang perniagaan dibawah Undang-Undang Kecil (UUK) Tred Perniagaan kerana berniaga tanpa lesen sah dari pihak MBS.
Sementara itu, katanya, dalam pemeriksaan yang dilakukan di lokasi kedua pula mendapati premis makanan dan minuman tersebut tidak mempunyai pekerja tempatan dan kesemua pekerja adalah warga asing.
“Berikutan itu, MBS telah merampas barang perniagaan kerana tidak mematuhi syarat lesen perniagaan MBS iaitu setiap premis memerlukan sekurang-kurangnya 30 peratus pekerja warganegara dan hanya pekerja warganegara boleh bekerja di bahagian kaunter.
“Pelanggaran syarat ini boleh menyebabkan lesen ditarik serta-merta,” katanya lagi.-UTUSAN.










