Petaling Jaya: Malaysia mampu mencapai sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara empat hingga lima peratus tahun ini, dipacu oleh persepsi pelabur ke atas prospek ekonomi Malaysia yang semakin positif, kata pakar ekonomi.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, perkara itu dilihat kepada peningkatan pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam negara tahun lepas dan prestasi Bursa Malaysia yang mencatatkan pertumbuhan menghampiri empat peratus tahun ini.
Jelas beliau, kadar inflasi dan kadar dasar semalaman (OPR) yang terkawal juga memberi jaminan kestabilan ekonomi di negara kita.
“Semua ini mampu menyumbang kepada pertumbuhan KDNK yang diharapkan pada tahun ini selaras dengan harapan kerajaan,” katanya ketika dihubungi.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof sebelum ini menyatakan kerajaan optimis ekonomi negara akan terus berkembang sihat dan mampu mencapai unjuran KDNK antara empat hingga lima peratus tahun ini.
Beliau berkata, kerajaan telah mengambil pelbagai langkah dalam memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan di sebalik pelbagai cabaran di peringkat domestik dan antarabangsa.
Antara pendekatan yang diambil ialah mengurangkan subsidi dan mengubahsuai harga bahan api untuk mengawal inflasi.
Bagi Ahmed Razman, beliau bersetuju bahawa kerajaan bersikap lebih proaktif sejak kebelakangan ini dengan mula melaksanakan beberapa inisiatif seperti subsidi bersasar untuk mengurangkan kos tetapi pada masa yang sama meningkatkan bantuan tunai kepada rakyat serta sentiasa menjuarai isu gaji rendah melalui inisiatif polisi gaji progresif.
Dalam pada itu, Pensyarah kanan di Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd. Dali berpendapat, kerajaan perlu melakukan sesuatu bagi mencapai unjuran itu.
“Negara perlu mempunyai kestabilan politik, memantau dasar-dasar fiskal bagi membangunkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS); meningkatkan pelaburan asing secara terus dan meningkatkan keyakinan pelabur dalam Bursa Malaysia untuk merealisasikan perkara itu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pengurangan subsidi yang akan dilakukan tidak lama lagi perlu diteliti supaya dilaksanakan tanpa menjejaskan ekonomi rakyat.
Menurut beliau, kerajaan perlu meningkatkan kesiapsiagaan negara dari segi kecukupan barangan keperluan rakyat jika berlaku ketidaktentuan ekonomi akan datang. – UTUSAN










