KUBANG PASU: Tindakan 30 warga asing Thailand dan Kemboja cuba memasuki negara ini tanpa mengemukakan dokumen perjalanan sah membawa padah apabila ditahan Imigresen berhampiran pintu sempadan di Bukit Kayu Hitam, di sini kelmarin.
Pengarah Imigresen Kedah, Mohd. Ridzzuan Mohd. Zain berkata, penahanan dibuat setelah pihaknya menjalankan pemeriksaan terhadap 10 kenderaan antaranya jenis pikap, kereta sedan dan motosikal dengan nombor pendaftaran Thailand di lokasi tersebut.
“Hasil pemeriksaan, kita menahan 30 warga asing terdiri 10 lelaki dan 20 wanita kerana melanggar peraturan imigresen seperti tidak memiliki cop pengesahan kemasukan sah serta tidak memenuhi syarat kemasukan ke Malaysia.
“Seramai 18 daripada mereka mempunyai pas sah, manakala 12 lagi tidak mempunyai cop kemasukan yang sah pada dokumen perjalanan mereka,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Mohd. Ridzzuan berkata, pihaknya mengeluarkan Notis Penolakan Masuk kepada 12 warga Thailand dan seorang Kemboja selepas tidak memenuhi syarat kemasukan termasuk berkaitan bukti tempahan penginapan.
“Mereka dihantar pulang kepada pihak imigresen Thailand untuk tindakan lanjut. Baki 17 lagi warga Thailand terdiri daripada 12 wanita yang didapati tidak mempunyai pengesahan kemasukan sah serta lima pemandu kenderaan yang membawa semua wanita warga asing terbabit ditahan,” ujarnya.
Menurutnya, semasa operasi itu, terdapat dalam kalangan warga asing terbabit memberi alasan sedang mencari jalan untuk berpatah balik ke negara mereka selain mencari kaunter pertanyaan.
“Walau apa sahaja alasan diberikan, kita akan menahan mereka untuk siasatan lanjut. Bagi kesalahan tiada cop kemasukan ke Malaysia, ia luar biasa dan merupakan ketidakpatuhan yang besar dalam konteks pengurusan imigresen dan sempadan,” jelasnya.
Sehubungan itu, kata beliau, siasatan lanjut akan dilakukan daripada semua aspek termasuk tindakan memanipulasi ruang dan peluang memasuki Malaysia secara tidak sah, keterlibatan sindiket, kemungkinan penglibatan pegawai dalaman selain perlu menganalisa keadaan fizikal kompleks yang membuka ruang kelemahan.
“Tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom),” katanya.
Tambahnya, pihaknya juga akan terus menguatkuasakan Pekeliling Imigresen Malaysia berhubung tatacara mengemukakan bukti tempahan premis penginapan bagi wanita warga Vietnam dan Thailand berusia di bawah 35 tahun serta berkaitan pengurusan pelawat asing yang tinggal hampir sepenuhnya atau sepenuhnya tempoh maksimum Pas Lawatan Sosial dan disyaki bekerja.
“Fokus pekeliling itu adalah membendung kemasukan pelawat tidak tulen, mengekang aktiviti tidak bermoral, bekerja tanpa pas sah dan mengelakkan pemerdagangan manusia,” katanya. -UTUSAN










