Bonus menanti skuad Hoki 5s Malaysia

Bonus menanti skuad Hoki 5s Malaysia

PEMAIN Malaysia meraikan kejayaan mara ke final Kejohanan Hoki 5s selepas menewaskan Poland 4-3 dalam separuh akhir di Muscat, Oman, semalam. - IHSAN MHC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pulang dengan bergelar juara dunia atau naib juara, skuad hoki lima sebelah (5s) lelaki negara tetap akan diberi ganjaran selepas melakar sejarah mara ke final Piala Dunia Hoki 5’s yang berlangsung di Muscat, Oman.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal berkata, pencapaian mara ke final membuka sejarah baharu buat sukan hoki negara biarpun skuad kali ini berlepas ke Oman dalam serba kekurangan.

“Saya akan pastikan ada bonus untuk mereka walaupun kedudukan kewangan kita terhad. Kebanyakan dana yang kita ada sememangnya diutamakan kepada pasukan kebangsaan (hoki padang).

“Malah buat mereka (pasukan 5s Malaysia), elaun latihan juga amat sedikit dapat kita berikan, malah ada yang meminta kasut baharu juga kita tak mampu sediakan, tetapi mereka tida pernah ‘demand’.

“Saya memang terharu apatah lagi Wallace Tan (jurulatih skuad hoki 5s) sendiri enggan mengambil bayaran gaji dan kami (KHM) hanya membayarnya elaun makan sahaja sepanjang berada di Oman.

“Bukan kami tidak memberi gaji tetapi Wallace faham situasi (kewangan KHM ketika ini) dan menolaknya dan gembira untuk berbakti kepada negara sebagai jurulatih,” kata Subahan dalam sidang akhbar, semalam.

Mengulas lanjut, Subahan berkata, beliau juga ada berbincang dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengenai pemberian ganjaran kepada para pemain sebaik pulang ke tanah air nanti.

“Pencapaian ke final ini sememangnya sejarah, tetapi saya berharap mereka akan muncul juara,” kata Subahan yang turut menyatakan bahawa skuad hoki 5s wanita juga akan diberikan ganjaran selepas menamatkan saingan di tempat keenam.

Untuk rekod, skuad negara mengatasi Tinadad & Tobago 5-4 di suku akhir sebelum menyingkir cabaran Poland 4-3 di separuh akhir untuk menempah pertembungan di final dengan gergasi hoki dunia, Belanda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×