PETALING JAYA: Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) perlu menyusun semula program pembangunan bagi mencari bakat baharu untuk mewakili skuad senior dan remaja kebangsaan pada masa akan datang.
Penganalisis sukan tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli berkata, program pembangunan yang berkesan dilihat sebagai jalan terbaik yang perlu dilakukan untuk melihat sukan hoki negara kembali digeruni lawan.
Pekan berkata, selain itu, penganjuran liga yang kompetitif dan pembabitan semula syarikat-syarikat korporat juga mampu memperkasakan sukan berkenaan.
“Pembubaran pasukan ini biasa dilakukan selepas tidak mencapai misi atau berdepan kegagalan. Apa yang perlu KHM kena susun semula program pembangunan sukan hoki, cari bakat baharu, perkukuhkan bakat dari sekolah pergi ke atas.
“Saya akui, ia mungkin lambat dapatkan hasil. Tetapi, kalau program tersusun dan liga kompetitif, kita dapat hasilkan ramai bakat baharu. Bakat juga menyeluruh, babitkan ramai atlet dalam konteks semua kaum.
“Dahulu, antara sebab kita kuat kerana pembabitan atlet pelbagai kaum yang masing-masing ada kelebihan.
“Pembabitan syarikat korporat dan bank-bank juga perlu diperkasakan semula, kita harap mereka dapat ambil atlet daripada sukan hoki untuk berkhidmat dengan mereka, ini juga dapat meriahkan kembali sukan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu semalam, Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal mengumumkan pembubaran skuad senior dan remaja kebangsaan selain kontrak kedua-dua jurulatih pasukan berkenaan juga sudah berakhir. – UTUSAN










