PETALING JAYA: Minetech Resources Berhad (Minetech) berjaya melanjutkan kontrak Projek Lombong Emas Selinsing bernilai RM230 juta dengan Able Return Sdn. Bhd. dan Damar Consolidated Exploration Sdn. Bhd.
Kejayaan itu diperolehi melalui anak syarikat Minetech, Minetech Construction Sdn. Bhd. (MCSB). Kontrak untuk penyingkiran sisa, penghantaran bijih dan kerja-kerja berkaitan untuk projek lombong berkenaan
“Tempoh pembaharuan ini dilanjutkan untuk tempoh 36 bulan tambahan, bermula dari 1 Januari 2024 hingga 31 Disember 2026, dengan kontrak dianggarkan bernilai RM230.0 juta,” maklum syarikat itu dalam kenyataan.
Jelasnya, terletak di Central Gold Belt Malaysia, Lombong Emas Selinsing menjangkau 150.3 kilometer pesegi (km²), merangkumi hartanah Selinsing, Terumbu Kerbau, Tanah Felda, Peranggih dan Famehub, yang terletak 158 km di utara
Kuala Lumpur.
Untuk makluman, lombong itu mempunyai kilang pemprosesan emas dan infrastruktur penting, mudah diakses dari semua hartanah, tambahnya.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Minetech, Abang Abdillah Izzarim berkata, kontrak dengan Able Return Damar Consolidated merupakan pencapaian penting bagi Minetech.
Kata beliau, ia bukan sahaja mengesahkan kedudukan utama Syarikat dalam industri tetapi juga sejajar dengan visi strategik untuk pertumbuhan dan kecemerlangan.
“Kami komited untuk memanfaatkan kepakaran dan keupayaan kami untuk terus menyumbang kepada kejayaan Projek Lombong
Emas Selinsing, memastikan penciptaan nilai untuk semua pihak berkepentingan yang terlibat,” katanya.
Menurut Minetech, operasi Lombong Emas Selinsing dan kontrak lanjutan sejajar dengan komitmen Minetech terhadap
prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
Penjajaran ini menekankan dedikasi syarikat terhadap amalan perlombongan mampan, penglibatan komuniti, dan piawaian tadbir urus yang bukan sahaja memastikan pematuhan tetapi juga bertujuan untuk memberi kesan positif kepada alam sekitar, jelasnya.
Pada 31 Januari 2024, pukul 5:30 petang harga saham Minetech ditutup pada RM0.145, menandakan modal pasaran sebanyak RM258.7 juta. – UTUSAN










