Enam ahli parlimen sokong PM tidak terkesan jika Bersatu pinda perlembagaan - Utusan Malaysia

Enam ahli parlimen sokong PM tidak terkesan jika Bersatu pinda perlembagaan

MOHAMED HANIFF KHATRI ABDULLA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mahu meminda perlembagaan parti bagi mengambil tindakan undang-undang ke atas wakil rakyat yang mengisytiharkan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak terkesan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pengamal undang-undang, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, berdasarkan prinsip undang-undang sebarang pindaan peraturan baharu hanya terpakai untuk perkara baharu dan bukannya membabitkan perbuatan lalu.

Oleh itu, menurut beliau, enam wakil rakyat Bersatu berkenaan tidak terkesan dengan pindaan yang bakal dilakukan melainkan parti tersebut sebelum ini pernah mempunyai perlembagaan yang memecat ahli parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerana melanggar arahan parti termasuk menyokong Perdana Menteri tanpa izin parti.

“Misalnya jika Bersatu meminda perlembagaan bagi mengambil tindakan undang-undang ke atas wakil rakyatnya yang mengkhianati parti pada bulan atau minggu depan, maka ahli parlimen seterus­nya atau selain enam individu terbabit bakal terkesan dengan langkah itu. Ia bermakna selepas ini, ahli parlimen Bersatu yang ketujuh atau seterusnya boleh dikenakan tindakan.

“Ini kerana prinsip undang-undang jelas menyatakan sebarang pindaan peraturan hanya terpakai untuk kes atau perbuatan baharu dan tidak me­rangkumi kejadian dan situasi silam,” katanya.

TINDAKAN

Sebelum ini, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, mesyuarat khas parti itu memutuskan meminda perlembagaan parti bagi mengambil tindakan undang-undang ke atas wakil rakyatnya yang mengkhianati Bersatu.

Selepas ini, katanya berkata, wakil rakyat Bersatu yang didapati khianat boleh kehilangan kerusi.
Setakat ini, enam Ahli Parlimen Bersatu menyatakan sokongan kepada Anwar iaitu Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli) dan Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang).

Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan terbaharu, Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Bagaimanapun, kata Mohamed Haniff, langkah mewujudkan klausa dalam perlembagaan parti untuk mengambil tindakan undang-undang ter­­­hadap wakil rakyat mengkhianati parti masih wujud banyak persoalan sama ada langkah itu menepati kehendak Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, Perkara 49 (a) Perlembagaan Persekutuan hanya menjelaskan dua keadaan seseorang wakil rakyat itu telah lompat parti iaitu ahli parlimen keluar daripada parti dan ahli parlimen bebas sertai mana-mana parti.

“Sebaliknya ia tidak menyebut mana-mana ahli parlimen di­pecat parti dan dikehendaki mengosongkan kerusi dengan automatik. Jadi timbul persoalan sama ada tindakan parti politik menggubal perlembagaan untuk mengambil tindakan kepada wakil rakyat mereka yang didapati khianat dan boleh kehilangan kerusi atau sebalik­nya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×