PUTRAJAYA: Isu keputusan Lembaga Pengampunan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ada dibincangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
Perkara itu disahkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada sidang akhbar sebentar tadi, namun memberitahu, mesyuarat Jemaah Menteri hanya dimaklumkan tentang keputusan itu sepintas lalu.
“Tapi bukan Kabinet ada bidang kuasa untuk (umum keputusan Lembaga Pengampunan itu).
“Kita bincang (keputusan Lembaga Pengampunan) tapi kita faham bahawa ini di bawah bidang kuasa Lembaga Pengampunan.
“Lembaga Pengampunan ini seperti Perlembagaan. Malah, ia dijelaskan secara terperinci di bawah bidang kuasa siapa dan keanggotaannya bagaimana,” katanya dalam sidang akhbr di sini hari ini.
Ditanya siapa mempunyai kuasa untuk mengumumkan keputusan Lembaga Pengampunan itu, Saifuddin berkata, ia bukan di bawah bidang kuasanya.
“Oleh kerana bukan di bawah bidang kuasa saya, saya tak boleh umum dan saya tak boleh cakap bagi pihak Lembaga Pengampunan,” katanya.
Difahamkan, Lembaga Pengampunan sudah membuat keputusan mengenai permohonan bekas Perdana Menteri itu namun, sehingga kini tiada kenyataan rasmi dikeluarkan.
Isu pengampunan Najib menarik perhatian media apabila terdapat desas-desus bahawa Najib menerima pengampunan Diraja.
Bagaimanapun, Channel News Asia (CNA) melaporkan hari ini bahawa hukuman penjara 12 tahun Najib atas tuduhan rasuah dikurangkan kepada enam tahun oleh Lembaga Pengampunan selepas mesyuaratnya semalam.
Media Singapura itu melaporkan, keputusan lembaga pengampunan itu yang diketuai Yang di-Pertuan Agong juga termasuk pengurangan denda RM210 juta (AS$44.4 juta) kepada jumlah yang tidak ditentukan, menurut tiga sumber berasingan yang bercakap dengan syarat kerahsiaan ketat. – UTUSAN











