Hamas kaji cadangan gencatan senjata dan pembebasan tebusan 

Hamas kaji cadangan gencatan senjata dan pembebasan tebusan 

KANAK-KANAK duduk berhampiran khemah di pusat perlindungan sementara pelarian di Rafah di selatan Semenanjung Gaza.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Kumpulan pejuang Hamas sedang mengkaji cadangan baharu dikemukakan oleh pengantara berhubung gencatan senjata dan pembebasan tebusan di Gaza dalam inisiatif keamanan yang disifatkan paling serius sepanjang hampir lima bulan pertempuran.

Pegawai kanan Hamas berkata, cadangan itu melibatkan gencatan senjata tiga peringkat yang dimulakan dengan pembebasan orang awam yang ditawan pada 7 Oktober lalu, diikuti tentera, dan akhir sekali penyerahan mayat tebusan yang terbunuh.

Pegawai itu bagaimanapun tidak menyatakan berapa lama peringkat itu akan berlangsung atau apa yang akan berlaku selepas penyerahan terakhir dilaksanakan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tetapi ia adalah kali pertama butiran dikeluarkan mengenai cadangan baharu yang sedang dipertimbangkan oleh kedua-dua pihak selepas usaha gencatan senjata dijalankan November lalu.

Cadangan itu susulan perbincangan di Paris melibatkan ketua perisikan dari Israel, Amerika Syarikat (AS) dan Mesir dengan Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman al-Thani.

Sebagai tanda keseriusan rundingan itu, Ketua Hamas, Ismail Haniyeh berkata, beliau akan ke Kaherah untuk membincangkannya dalam lawatan awam pertamanya ke negara itu selama lebih sebulan.

Haniyeh berkata, keutamaan Hamas adalah untuk menamatkan serangan Israel dan memastikan pengunduran penuh tentera rejim Zionis.

Tetapi Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengulangi ikrarnya untuk tidak menarik keluar tenteranya dari Gaza sehingga memperoleh kemenangan menyeluruh, sekali gus mewujudkan jurang besar pendirian pihak bertelagah mengenai usaha menghentikan pertempuran walaupun buat sementara waktu.

Kelmarin, komando Israel yang menyamar sebagai pekerja perubatan dan wanita Islam dilaporkan menyerbu masuk ke sebuah hospital di Tebing Barat dan menembak mati tiga rakyat Palestin termasuk seorang daripada mereka yang lumpuh.

Pegawai Palestin berkata, ketiga-tiga mereka tidak terlibat dalam pertempuran dan menegaskan serbuan itu melanggar undang-undang kemanusiaan yang melindungi hospital.

“Tentera membunuh tiga lelaki itu ketika mereka sedang tidur dengan cara sangat kejam. Anggota rejim Zionis melepaskan tembakan terus ke kepala mangsa di dalam bilik di mana mereka sedang terlantar di katil bilik rawatan,” kata Pengarah Hospital Ibnu Sina di Jenin, Najy Nazzal.

Sementara itu, Bulan Sabit Merah Palestin berkata, tentera Israel yang mara di Khan Younis menyerbu hospital dan mengarahkan kakitangan serta orang awam dipindahkan dengan diacukan senjata.

Pertempuran sengit di Gaza dilaporkan turut membawa kepada peningkatan ketegangan di seluruh Asia Barat, termasuk serangan ke atas tentera AS oleh kumpulan bersenjata yang bersekutu dengan Iran. 

Bagaimanapun dalam satu langkah yang jarang berlaku, kumpulan bersenjata Ketaib Hezbollah mengumumkan menangguhkan operasi bersenjata terhadap AS bagi mengelakkan memalukan kerajaan Iraq.

“Jelas sekali apa yang berlaku adalah satu langkah yang keterlaluan dan meletakkan semua pihak dalam keadaan yang berbahaya,” kata seorang pegawai Iraq.-REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini