ISU pencen penjawat awam adalah satu perkembangan baharu yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Lantikan baharu penjawat awam tidak lagi akan menerima skim pencen yang diamalkan sejak sekian lama dalam pentadbiran awam negara.
Pencen adalah salah satu kelebihan bagi penjawat awam. Ia dilihat sebagai satu jaminan kehidupan di hari tua. Walaupun gaji penjawat awam tidak besar berbanding dengan pekerja swasta, tetapi kelebihannya adalah pencen yang bakal diterima setelah bersara nanti (selepas 55 tahun sebelum ini dan 60 tahun sekarang).
Secara majoritinya penjawat awam memilih untuk mengambil skim pencen, berbanding dengan pilihan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Sebelum ini penjawat awam bebas memilih sama ada skim pencen atau KWSP. Dengan gaji penjawat awam yang relatifnya kecil, maka ramai yang lebih yakin dengan skim pencen bagi jaminan kehidupan pada hari tua.
Perubahan yang berlaku kini iaitu ialah penjawat awam lantikan baharu tidak lagi mempunyai pilihan, semuanya mesti memilih KWSP bagi saraan hidup hari tua. Dengan kadar pendapatan terutama jawatan peringkat bawahan, sudah pasti jumlah tabungan yang mampu dikumpulkan secara kasarnya adalah kecil. Dengan kadar inflasi dan kenaikan kos hidup, jumlah tabungan yang mampu dikumpulkan adalah kecil bagi menampung kehidupan sepanjang hari tua.
Keyakinan tentang kehidupan yang bahagia dihari tua dalam kesangsian dengan terhapusnya skim pencen. Dengan terhapusnya skim pencen ini, kemungkinan besar rakyat akan memilih kerjaya di lain bidang. Adakah ini tidak menggugat perjalanan pentadbiran andainya sejumlah besar bertindak demikian? Semasa Covid-19, siapa yang berkorban memberi khidmat kepada negara? Adakah pihak kerajaan sudah lupa?
Elok kiranya isu penting ini dibawa berbincang dan meminta pandangan daripada pelbagai pihak di pelbagai peringkat untuk melihat apa baik, buruknya dalam kepelbagaian aspek. Lihat juga adakah skim ini tidak baik bagi penjawat awam atau ada muslihat tertentu oleh parti politik yang mempunyai niat tertentu? Kalau ini ada hubungan yang lebih bermotif politik, Kerajaan Madani perlu lebih berhati-hati kerana tanpa sokongan penjawat awam sesebuah kerajaan kemungkinan boleh tumbang.
Perubahan pola pengundian akan datang mungkin akan berlaku dengan perubahan skim pencen ini kerana isu ini melibatkan jumlah penduduk yang besar. Adakah perubahan ini mempunyai hubungan dengan parti-parti politik tertentu dalam parti gabungan Kerajaan Perpaduan yang telah sekian lama mempunyai hasrat bagi menghapuskan skim pencen ini? Kerajaan Madani perlu lebih berhati-hati jika andaian ini ada benarnya. Walau sebesar manapun sokongan kumpulan minoriti, sokongan kumpulan penduduk majoriti tetap penting dan perlu lebih diutamakan.
PERLEMBAGAAN
Bukankah isu pencen penjawat awam ini termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan (undang-undang tertinggi negara) dan sebarang perlaksanaan baharu mesti dilakukan perubahan atau pindaan terlebih dahulu. Isu pencen ini jelas dinyatakan dalam Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan; Akta Pencen 1980 (Akta 227) dan juga Perkara 74, Jadual Kesembilan, senarai 1, para 6 (d).
Berdasarkan peruntukan seperti yang dinyatakan, sebarang perubahan tentang isu pencen penjawat awam ini bukanlah satu isu dan persoalan mudah (isu kecil) yang hanya boleh diputuskan dalam mesyuarat Kabinet. Ini adalah satu isu besar yang mempunyai kaitan dengan undang-undang tertinggi negara (Perlembagaan Persekutuan).
Perkara 147 mesti dipinda terlebih dahulu sebelum sebarang perubahan tentang isu pencen ini dilakukan. Adakah mesyuarat Kabinet boleh melakukan perubahan ini dengan sewenang-wenangnya? Jawapan mudahnya adalah tidak boleh dan bercanggah dengan prinsip undang-undang.
Peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara tidak boleh diketepikan dalam sebarang keputusan. Ia mesti dijadikan asas utama dalam sebarang keputusan. Sebarang perubahan dan pindaan perlu melalui proses Parlimen.
Tidak terfikirkah kerajaan bahawa perubahan skim pencen penjawat awam ini akan memberi kesan yang besar kepada sokongan penjawat awam kepada Kerajaan Madani sedia ada? Jangan fikirkan bahawa Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) masih lama dan rakyat akan lupa tentang isu ini menjelang pilihan raya nanti.
Isu yang berdarah daging begini sukar untuk dilupakan dan akan sentiasa segar dan hidup dalam jiwa pengundi. Ia mungkin memberi kesan negatif terhadap sokongan rakyat kepada kerajaan pada PRU16 nanti, jadi fikir-fikirlah.
Sesebuah kerajaan baharu pastinya mempunyai falsafah dan amalan yang berbeza. Persoalan kecil yang bersifat ranting boleh lakukan perubahan sewenangnya dengan kuasa yang ada. Persoalan pokok dan teras jangan sesekali diubah dengan mudah tanpa berfikir panjang secara mendalam.
Kalau ia ranting teruskan perubahan sewenang-wenangnya dengan kuasa yang ada tetapi kalau isu teras berhati-hatilah, kesannya sangar boleh menggoncang akar umbi, tanah bumi dan roh jiwa watan.-UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah Felow Penyelidik Kanan, Institut Kajian Orang Asal Borneo (BorIIS), Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu, Sabah.










