PETALING JAYA: Bursa Malaysia meneruskan aliran menaik pada pagi ini, disokong oleh pembelian saham wajaran tinggi terpilih di tengah-tengah sentimen positif dalam pasaran serantau, kata peniaga.
Pada pukul 9.15 pagi, FBM KLCI telah menambah 2.50 mata kepada 1,517.89, daripada penutup Isnin pada 1,515.39, memetik laporan Bernama.
Indeks barometer dibuka 2.36 mata lebih baik pada 1,517.75.
Di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 216 berbanding 213, manakala 314 kaunter tidak berubah, 1,515 lagi tidak diniagakan dan 73 digantung.
Jumlah dagangan berjumlah 370.40 juta unit bernilai RM209.18 juta.
Sekuriti Melaka berkata, KLCI ditutup melepasi paras psikologi 1,500 mata pada Isnin dan meneruskan rentak positif untuk sesi keenam, diterajui saham wajaran tinggi perbankan.
Selain itu, katanya, pasaran saham AS bergerak lebih kukuh untuk sesi menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan serta laporan pendapatan oleh gergasi teknologi minggu ini.
“Bagaimanapun, memandangkan mahkamah Hong Kong telah mengarahkan pembubaran Kumpulan Evergrande China, kami percaya ia boleh menyebabkan sentimen keseluruhan bertukar negatif sekurang-kurangnya dalam tempoh terdekat, diterjemahkan kepada mod pengambilan untung,” katanya dalam nota kajian.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Malayan Banking Bhd (Maybank) naik satu sen kepada RM9.24, Public Bank Bhd. tidak berubah pada RM4.41. CIMB Group Holdings Bhd. pula tidak berubah pada RM6.22, manakala Tenaga Nasional Bhd. susut dua sen kepada RM10. 48 dan IHH Healthcare Bhd. turun lima sen kepada RM6.10.
Bagi saham aktif, HE Group Bhd. meningkat 12.5 sen kepada 40.5 sen, manakala YNH Property Bhd. susut 6.5 sen kepada 78 sen, Widad Group Bhd. susut setengah sen kepada 15 sen dan TWL Holdings Bhd. tidak berubah pada empat sen. – UTUSAN










