Dana asing kembali ke Bursa dengan aliran masuk RM267.7 juta

Dana asing kembali ke Bursa dengan aliran masuk RM267.7 juta – MIDF Research

BURSA Malaysia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelabur asing kembali sebagai pembeli bersih di Bursa Malaysia, menyumbang kepada aliran masuk asing bersih sebanyak RM267.7 juta minggu lalu selepas melupuskan ekuiti tempatan bernilai RM66.3 juta pada minggu sebelumnya semasa minggu dagangan yang dipendekkan sempena cuti Thaipusam pada 25 Januari lalu.

Dalam laporan aliran dana mingguan MIDF Research berkata, pelabur asing hanya menjual bersih RM66.6 juta pada 23 Januari lepas, tetapi merupakan pembeli bersih untuk baki minggu itu.

Firma penyelidikan itu berkata, seperti dijangka, Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3 peratus dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pertama 2024.

“Kami menjangkakan bank pusat akan kekalkan status quo pada pendirian dasar monetari mereka sepanjang 2024 untuk memastikan momentum pertumbuhan yang mampan untuk ekonomi Malaysia.

“Tiga sektor teratas dengan aliran masuk asing bersih tertinggi ialah perkhidmatan kewangan (RM112.2 juta), utiliti (RM97.3 juta) dan hartanah (RM86.6 juta). Manakala tiga sektor teratas dengan aliran keluar asing bersih tertinggi ialah produk dan perkhidmatan pengguna (RM39.6 juta), produk dan perkhidmatan perindustrian (RM38.0 juta), dan penjagaan kesihatan (RM21.2 juta),” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, MIDF berkata, institusi tempatan bertukar menjadi penjual bersih untuk minggu itu, selepas melupuskan ekuiti bernilai RM167.1 juta.

“Mereka hanya membeli bersih RM21.0 juta pada hari Selasa, tetapi menjadi penjual bersih sepanjang minggu.

“Peruncit tempatan masih melakukan jualan bersih, jualan bersih RM100.6 juta minggu lepas,” katanya.

MIDF berkata, ia adalah minggu keempat berturut-turut jualan bersih oleh peruncit tempatan.

“Seperti institusi tempatan, mereka hanya beli bersih pada hari Selasa pada harga RM45.6 juta, tetapi menjadi penjual bersih sepanjang minggu.

“Dari segi penyertaan, terdapat peningkatan purata volum dagangan harian di kalangan institusi tempatan dan pelabur asing masing-masing sebanyak 3.3 dan 2.5 peratus manakala, peruncit tempatan mencatatkan penurunan sebanyak 14.6 peratus,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×