KOTA BHARU: Guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) menyifatkan cadangan kerajaan menaikkan elaun adalah tepat pada masanya ketika masyarakat berdepan peningkatan kos sara hidup ketika ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia Sapinah Ab. Ghani, 40, berkata, kenaikan itu amat melegakannya sekali gus membuktikan keperihatinan kerajaan dalam membela nasib guru KAFA.
“Dengan adanya kenaikan ini, saya yakin dan percaya ia akan memberikan semangat kepada kami untuk terus memberikan khidmat terbaik dalam mendidik serta menyampaikan ilmu agama kepada anak-anak.
“Saya mewakili guru-guru KAFA mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang menghargai sumbangan kami,” katanya.
Sementara itu, Fauwaz Abdul Rashid menyambut baik cadangan yang mampu memberikan nafas baharu.
Katanya, insentif itu sekali gus menjaga kebajikan guru KAFA.
“Walaupun bertindak sebagai kumpulan sokongan, namun peranan dan sumbangan guru KAFA dalam mendidik murid cukup besar,” ujarnya.
Utusan Malaysia kelmarin melaporkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, sebahagian guru KAFA yang mengajar melebihi tiga hari bekerja dalam seminggu akan diberi tambahan elaun mengikut ke upayaan negeri masing-masing. – UTUSAN










