MINGGU ini merupakan minggu yang sangat penting buat para pelajar tingkatan lima. Masakan tidak, peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula pada hari ini.
Seperti tahun-tahun sebelumnya menjelang peperiksaan bertulis SPM, cikgu dan ibu bapa akan bersolat hajat dan membaca Yasin agar pelajar yang menduduki peperiksaan SPM dipermudahkan dan diterangkan hati mereka dalam menjawab setiap soalan.
Lebih-lebih lagi, para pelajar yang menduduki peperiksaan SPM 2023 adalah kumpulan kedua yang tidak menduduki peperiksaan umum ketika di tingkatan tiga ekoran pandemik Covid-19.
Satu-satunya peperiksaan umum yang telah mereka duduki adalah Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) ketika berumur 12 tahun.
Natijahnya, bukan setakat debaran dirasai oleh pelajar tersebut tetapi juga ibu bapa mereka. Begitulah penangan peperiksaan SPM. Apa yang penting, para pelajar pastinya sudah cukup bersedia menghadapi peperiksaan SPM.
Sememangnya SPM adalah tiket utama untuk kemasukan ke peringkat pengajian tinggi seperti asasi, matrikulasi, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), malah ke peringkat program prauniversiti (A level).
Hadapilah peperiksaan SPM dengan tenang. Ibu bapa pada masa sekarang pun mengetahui sukatan pelajaran setiap subjek SPM tidak sama seperti ketika mereka menduduki SPM. Sukatan pelajaran jauh lebih susah berbanding dahulu. Para pelajar perlu diberikan semangat bukanlah tekanan sehingga memberi kesan yang tidak baik.
Untuk mendapat keputusan paling cemerlang, iaitu seseorang pelajar mendapat A+ bagi kesemua mata pelajaran yang diambil bukanlah sesuatu yang mudah. Pada masa yang sama, usahlah bimbang jika apabila keputusan yang diperoleh kelak tidak sebagaimana diharapkan.
Berdasarkan pengalaman saya sebagai pensyarah dan bapa kepada bekas calon SPM 2022, keputusan SPM hanyalah sebagai tiket untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi terutamanya dalam dunia akademik. Keputusan SPM yang tidak memberangsangkan bukanlah bermakna berakhirnya kehidupan seseorang itu. Malah, ada dalam kalangan mereka yang tidak mendapat keputusan yang baik pun masih boleh mendapat keputusan yang sangat cemerlang di peringkat pengajian tinggi.
Begitu juga, ada dalam kalangan mereka yang tidak mendapat keputusan yang cemerlang ketika ijazah pertama, mampu memiliki segulung ijazah kedoktoran.
Malah, ada dalam kalangan rakan kepada anak saya telah mendapat keputusan cemerlang, iaitu 7A+ dan 2A dalam SPM 2022 meskipun hanya mendapat keputusan 3A dan 3B dalam UPSR. Dia kini merupakan pemegang biasiswa syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang terkemuka di Malaysia.
Ini menunjukkan bahawa apa yang telah berlaku dahulu bukanlah bererti akan menjadi penentu segala-galanya pada masa akan datang. Keutamaan perlu diberikan tentang proses pembelajaran dan bukanlah semata-mata keputusan peperiksaan.
Proses pembelajaran ini sangat penting bagi membolehkan seseorang itu berdikari pada kemudian harinya. Proses pembelajaran ini tidak semestinya boleh dikutip secara pendidikan formal sahaja tetapi juga secara tidak formal. Sayugia diingatkan memperoleh ilmu yang sedikit dan mengamalkannya adalah lebih baik daripada memiliki ilmu yang banyak tetapi tidak mengamalkannya.
Dalam konteks ini, masih banyak lagi cabaran dan liku-liku hidup yang perlu dihadapi oleh golongan muda. Cabaran-cabaran ini akan mematangkan mereka. Falsafah Pendidikan Kebangsaan menekankan perkembangan potensi seseorang individu yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.
POTENSI
Memantapkan potensi generasi muda bukanlah setakat pada keputusan peperiksaan yang sangat cemerlang tetapi juga kekuatan mereka dari segi rohani, emosi dan jasmani. Inilah yang sering dilupakan kerana kita selalu sahaja melihat pengukuran kejayaan seseorang pelajar berdasarkan jumlah A atau A+ yang diperoleh.
Natijahnya, kita telah meminggirkan secara sedar atau tidak, ramai antara generasi muda yang sangat cekap dari segi teknikal dan mereka ini jika dilentur akan menjadi seorang pekerja mahupun usahawan yang berkemahiran tinggi. Tiada seseorang itu akan mampu cemerlang dalam semua aspek kerana setiap individu memiliki kekuatan dan keunikan yang tersendiri. Kenalpastilah kekuatan tersebut agar dapat disalurkan kepada tempat yang betul.
Pada masa yang sama, negara memerlukan kepelbagaian kekuatan dalam kalangan generasi muda untuk disepadukan agar menjadi kekuatan yang mampan demi kemajuan negara. Lebih-lebih lagi, era sekarang yang mementingkan kecerdasan buatan (AI). Kemahiran-kemahiran baharu ini perlu dipupuk dan pada masa yang sama melestarikan pekerjaan-pekerjaan sedia ada yang masih kekal penting dalam masyarakat dan negara.
Yakinilah, Malaysia akan lebih maju dan berdaya saing jika setiap individu terutamanya generasi muda diberi peluang dan kemudahan yang bersesuaian untuk menonjolkan potensi mereka.
Dengan ini, tiada yang berasa terpinggir tatkala Malaysia semakin maju ke hadapan pada masa akan datang. Generasi muda adalah penentu masa hadapan Malaysia.
Selamat maju jaya buat semua calon SPM 2023.-UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Rohami Shafie ialah pensyarah di Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA) Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia (UUM).










