Gaya permainan hoki masih 'lapuk'

Gaya permainan hoki masih ‘lapuk’

NOR SAIFUL ZAINI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad kebangsaan memerlukan jurulatih yang arif mengenai corak permainan hoki moden sekiranya ingin mendapatkan sentuhan baharu.

Bekas kapten skuad hoki kebangsaan, Nor Saiful Zaini Nasiruddin berkata, siapa sahaja yang dilantik sebagai jurulatih perlu memenuhi kredibiliti dan memahami gaya permainan sekarang tanpa mengira dari mana-mana negara sekalipun.

Katanya, gaya permainan moden di Eropah pada masa ini menjadikan negara-negara itu muncul kuasa besar hoki dan Malaysia jauh ketinggalan.

“Saya tak kisah jurulatih itu datang dari Korea Selatan, Pakistan, India, Eropah atau jurulatih tempatan sekalipun.

“Apa yang lebih utama ialah jurulatih itu perlu tahu mengenai permainan hoki moden yang mana Eropah merupakan kuasa besar kepada sukan hoki dunia dan Malaysia jauh keciciran di belakang pasukan-pasukan handalan ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Nor Saiful yang pernah beraksi pada Sukan Olimpik di Barcelona (1992), Atlanta (1996) dan Sydney (2000) memberitahu, tidak semestinya jurulatih asing mampu membawa perubahan kepada Speedy Tigers kerana sebagai contoh Korea Selatan, malah, Malaysia sendiri hanya dibimbing pengendali tempatan sehingga layak ke Olimpik sebelum ini.

Jelasnya, sewaktu skuad negara beraksi pada Sukan Olimpik di Sydney, Stephen van Huizen merupakan jurulatih yang bertanggungjawab membawa Speedy Tigers temasya empat tahun sekali itu.

“Begitu juga sewaktu kita menjejakkan kaki ke perlawanan akhir Sukan Asia (2018) di Jakarta, beliaulah yang menjadi peneraju skuad negara, justeru, tak kiralah jurulatih luar atau tempatan, yang penting calon tersebut memiliki kredibiliti untuk membawa Malaysia ke Sukan Olimpik,” katanya.

Beliau turut mencadangkan kepada Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), program jangka panjang perlu dirangka daripada sekarang dengan fokus diberi kepada prestasi tinggi dan pembangunan pemain.

“Untuk program ini, saya cadangkan ia perlu dibuat untuk jangka panjang iaitu empat hingga ke lapan tahun dan saya berpendapat Stephen van Huizen calon paling sesuai membimbing pemain di peringkat pembangunan dengan dibantu bekas pemain yang berkelayakan,” ujarnya.

Nor Saiful berkata, sukan hoki negara memerlukan kumpulan pemain yang besar dengan fokus kepada kumpulan pemain yang berusia di awal 20-an untuk persediaan kelayakan Olimpik dan remaja disekitar 15 hingga 17 tahun.

Pada kelayakan ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, skuad kendalian A Arul Selvaraj membuka tirai kempen di Oman dengan langkah kiri apabila tumpas 2-3 kepada China, kemudian tewas 1-4 ditangan Great Britain sebelum diikat 3-3 menentang Pakistan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×