Mengenang kebijaksanaan, kepimpinan Al-Sultan Abdullah

Mengenang kebijaksanaan, kepimpinan Al-Sultan Abdullah

AL-SULTAN Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berjaya mengemudi negara sepanjang tempoh lima tahun ini dengan kebijaksanaan dan ketelitian dalam membuat keputusan penting menyelamatkan Malaysia daripada perebutan kuasa politik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERI Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sangat istimewa di hati rakyat kerana keperibadian baginda berdua yang mesra, prihatin dan sentiasa cakna akan keluh-kesah serta untung nasib rakyat.

Lebih penting lagi, Al-Sultan Abdullah telah berjaya mengemudi negara di saat-saat yang amat sukar dan getir. Kebijaksanaan dan ketelitian baginda dalam membuat keputusan penting di saat-saat genting telah menyelamatkan negara daripada malapetaka akibat perebutan kuasa politik.

Pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), negara telah berdepan krisis politik getir yang tidak pernah dilalui sebelum ini. Mujurlah Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Utama Negara mempunyai kuasa untuk bertindak sebagaimana diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara.

Akibat kecelaruan politik yang melanda setelah kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam PRU14, Malaysia telah ditadbir oleh tiga kerajaan berbeza di bawah tiga Perdana Menteri dalam satu penggal Parlimen. Walhal, krisis politik sebegini tidak pernah berlaku di Malaysia sebelum ini.

Ia bermula dengan peletakan jawatan Perdana Menteri ketujuh secara tiba-tiba setelah berlaku perpecahan dalam gabungan parti pemerintah. Hasil tindakan drastik Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 24 Februari 2020 itu, kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang beliau ketuai runtuh dalam hanya sekelip mata.

Tidak dapat dibayangkan keadaan kacau bilau yang terpaksa rakyat tempuhi ketika itu jika tidak kerana kebijaksanaan Al-Sultan Abdullah yang bertindak tuntas menyelamatkan negara.

Ketika inilah ramai yang mula sedar betapa pentingnya fungsi dan kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam menangani kemelut pemerintahan negara. Mujurlah bumi bertuah ini sentiasa berada dalam lindungan Allah SWT.

Kita mesti bersyukur kerana negara kita mempunyai kerangka pemerintahan yang sangat istimewa. Sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan memberi kuasa kepada raja-raja Melayu yang mengetuai negeri serta Yang di-Pertuan Agong menjalankan tanggungjawab besar sebagai semak dan imbang kepada sistem demokrasi negara.
Maka, baginda membuat keputusan berdasarkan kuasa yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dipertikaikan.

PERTIKAI
Namun, kerana dangkal dan alpa akan hal-hal kenegaraan, maka terbitlah suara-suara sumbang yang mempertikaikan kuasa Yang di-Pertuan Agong serta raja-raja Melayu, walhal semuanya telah dimaktubkan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ada yang secara semberono, membuat tafsiran sendiri yang jauh menyimpang daripada kebenaran. Apalagi bagi yang kecewa kerana gagal mencapai hasrat yang diinginkan. Sesetengahnya pula sekadar memanjangkan cerita-cerita yang mereka dengar tanpa merasa keperluan untuk menyemak faktanya terlebih dahulu.
Tidak kurang juga yang tidak arif dan keliru, lantas mereka menyamakan kuasa institusi Yang di-Pertuan Agong dengan amalan institusi beraja di England.

Sebenarnya, kecelaruan pemikiran sebegini sepatutnya tidak berlaku lagi kerana peranan dan kuasa raja-raja Melayu sudah jelas tertulis di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Apa gunanya kita mendabik dada menjadi warganegara yang baik, mengaku setia kepada raja dan negara, tetapi masih mahu mempertikaikan kuasa dan peranan Yang di-Pertuan Agong? Walhal, semuanya sudah jelas tercatat di dalam undang-undang tertinggi negara.

Malaysia negara berdaulat. Negara kita mempunyai sistem Perlembagaan sendiri dan kita tidak mengamalkan sistem Perlembagaan seperti apa yang diamalkan di England mahu pun di India.

CABARAN
Begitu banyak cabaran yang berlaku sepanjang lima tahun pemerintahan Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang bakal berakhir pada 30 Januari ini.

Inilah kali pertama dalam sejarah tanah air bila mana negara ditadbir empat kerajaan di bawah empat Perdana Menteri berbeza dalam tempoh sepenggal pemerintahan Yang di-Pertuan Agong.

Bermula daripada Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri ketujuh, diikuti oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas jatuhnya kerajaan PH pada 2020. Muhyiddin jatuh lebih kurang setahun lima bulan kemudiannya dan digantikan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan sehinggalah Parlimen dibubar bagi memberi laluan kepada PRU15.

Keputusan PRU15 mencatatkan satu lagi sejarah baharu bagi Malaysia apabila buat pertama kali negara mengalami keadaan Parlimen tergantung bila mana tiada gabungan parti bertanding berjaya mendapat majoriti mudah untuk membolehkan mereka membentuk kerajaan.

Akhirnya, sekali lagi Al-Sultan Abdullah terpaksa memainkan peranan mencari jalan penyelesaian bagi membolehkan sebuah kerajaan pusat baharu ditubuhkan, setelah semua pihak terbabit gagal mencapai kata sepakat sesama sendiri.

Hasil kebijaksanaan baginda, terbentuklah kerajaan perpaduan yang diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Ke-10. Dalam keadaan ini, Al-Sultan Abdullah bertitah bahawa yang menang tak menang semua, yang kalah tak kalah semua.

Adat pertandingan, ada yang menang dan ada yang kalah, semoga titah Tuanku menjadi pedoman kepada para pemimpin politik agar bermuhasabah diri, berhenti berebut kuasa dan menunaikan janji kepada rakyat.

Konflik politik yang melanda sepanjang lima tahun ini membuktikan betapa pentingnya fungsi dan tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong bagi memastikan kedaulatan negara tidak terjejas akibat percaturan politik.

Sebagai Ketua Utama Negara, kedudukan Yang di-Pertuan Agong mengatasi politik. Maka, menjadi kesalahan untuk merendahkan kedudukan institusi diraja dengan mengaitkan institusi ini ke dalam kancah perebutan kuasa para pemimpin politik.

Raja dan rakyat berpisah tiada. Pemimpin politik datang dan pergi. Walau parti mana pun yang memerintah, institusi Yang di-Pertuan Agong akan tetap memayungi rakyat dan negara.

Daulat Tuanku!-UTUSAN

PENULIS ialah pelajar ijazah sarjana muda sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×