PUTRAJAYA Wetland ialah kawasan awam yang penting di Putrajaya merupakan tanah lembab buatan pertama di Malaysia. Kawasan seluas 335.75 ekar direka bentuk khas untuk berperanan sebagai kawasan hijau yang menstabilkan iklim Putrajaya.
Ia dibina dengan sistem tasik yang tersusun untuk mengalir dan menapis air tercemar serta berfungsi dalam kawalan banjir.
Di kawasan daratan pula, tumbuhan yang ditanam menampakkan seperti landskap yang berfungsi dalam ekosistem bandar.
Kedudukan tasik-tasik yang direka khusus, aliran air, tumbuhan akuatik yang ditanam dan tumbuhan landskap keseluruhannya mengambil kira kestabilan ekosistem tanah lembab Putrajaya.
Aliran Sungai Chua dan Sungai Bisa yang mengalir ke Putrajaya boleh menyumbang kepada pencemaran dan pemendapan kelodak dalam tasik. Pembangunan pesat di kawasan hulu dan sepanjang sungai boleh menyebabkan banyak hakisan permukaan dan efluen domestik, perindustrian, pertanian dan perbandaran.
Keadaan muka bumi yang bercerun dan jalan raya di kawasan sekitar mempengaruhi aliran air dan pemendapan sedimen serta bahan cemar lain dalam tasik. Semua ini akan mempengaruhi kualiti air tasik yang perlu di selenggara secara semula jadi.
Paling kurang sebanyak 12 spesies daripada lapan ‘keluarga’ tumbuhan akuatik terdapat di sini. Tumbuhan ini ditanam mengikut kesesuaian tempat dan peranan dalam ekologi tasik.
Lebih 12 juta tumbuhan yang terdiri daripada lebih 70 spesies ditanam. Antaranya 32 spesies pokok buah nadir atau buah-buahan yang jarang jumpa atau jarang ditanam untuk komersial, 32 spesies pokok hutan dan 45 spesis pokok renek.
Ada juga spesies asing yang ditanam terutamanya tumbuhan akuatik. Tumbuhan asing ini sekiranya dibiarkan membiak bebas boleh memberi masalah kepada tumbuhan akuatik lain dan mendominasi ekosistem.
Antara tumbuhan akuatik penting yang di tanam adalah tumbuhan makrofit akuatik seperti Fimbristylis miliacea, Eleocharis variegata, Polygonum barbatum, Eleocharis dulcis, Scirpus mucronatus, Scirpus grossus, Lepironia articulata dan Phragmites kark ditanam mengikut kesesuaian dan peranannya.
Bahkan, kawasan hijau sekeliling tasik dan pulau-pulau buatan kecil menjadi habitat kepada lebih 200 spesies burung termasuk 59 spesies burung hijrah.
Juga terdapat lebih 20 spesies ikan air tawar (termasuk ikan pelaga, belida dan belut) dan haiwan air lain serta pelbagai jenis tumbuhan akuatik diperkenalkan bagi mengkayakan kepelbagaian biologi tasik. Semua jenis yang diperkenalkan berperanan dalam ekologi tasik dan menjadi habitat kepada haiwan akuatik.
Dua jenis haiwan mamalia, babi hutan dan kera ekor panjang yang sudah ada di situ sejak asal dikawal populasinya kerana boleh memberikan masalah kepada ekosistem yang dibina dan manusia.
Secara umum Putrajaya Wetland yang dibina pada 1988 dan siap pada 2022 sangat penting bagi Putrajaya khususnya untuk alam sekitar dan kesejahteraan manusia. Justeru itu kawasan tanah lembab yang dibina secara sistematik perlu di selenggara secara profesional. Pemantauan berterusan bagi memenuhi keperluan ekologi tasik mesti dilakukan dengan teliti melibatkan semua aspek biotik dan abiotik serta interaksi antaranya.
PERUBAHAN IKLIM
Secara amanya kawasan tanah lembab memainkan peranan penting dalam krisis iklim, termasuk stok karbon dan keseimbangannya dalam ekosistem. Krisis iklim dijangka boleh menyebabkan kematian seramai 14.5 juta dan kerugian ekonomi menjelang 2050.
Perbincangan Forum Ekonomi Dunia (WEF) menyentuh tentang kesan perubahan iklim terhadap kesihatan manusia dan semua pemegang taruh mesti menyumbang kepada mengurangkan impak kesihatan akibat perubahan iklim.
Tanah lembab boleh membantu atasi perubahan iklim melalui takungan air yang mana tumbuhan tanah lembab dan simpanan karbon boleh menyumbang kepada iklim berdaya tahan dan kesihatan yang baik.
Alam semula jadi seperti kawasan lapang, taman dan tanah lembab dapat mengawal keadaan iklim yang memberikan kehidupan yang sihat, alam sekitar yang stabil selain kos ekonomi yang diperlukan untuk penjagaan kesihatan dan alam sekitar serta pengurusan bencana.
Perubahan iklim boleh memberikan kesan negatif kepada kesihatan melalui fenomena banjir, kemarau, gelombang haba, taufan tropika, kebakaran hutan dan peningkatan paras laut.
Kewujudan Putrajaya Wetland dapat membantu mengurangkan tekanan berkaitan perubahan iklim tempatan dan meyakinkan masyarakat.
Untuk itu semua masyarakat mesti terlibat dalam menyumbang kepada kesejahteraan manusia melalui tanah lembab.
KAJIAN
Putrajaya Wetland boleh menjadi lapangan untuk pendidikan masyarakat daripada pelajar sekolah hingga orang dewasa.
Sempena sambutan Hari Tanah Lembab Sedunia pada 2 Februari, Putrajaya Wetland dipromosikan kepada umum terutamanya pelajar sekolah di sekitar Putrajaya. Promosi bukan sekadar tempat beriadah tetapi juga memberikan pendidikan dan kesedaran awam tentang pentingnya pemulihan dan pemuliharaan tanah lembab.
Kajian berterusan juga perlu dijalankan dengan melibatkan universiti tempatan dengan penglibatan mahasiswa tahun akhir, program ijazah sarjana atau Ijazah Doktor Falsafah (PhD).
Hasil penyelidikan mungkin boleh memberikan pandangan kepada pihak pengurusan bagi meningkatkan taraf dari semua aspek berkaitan tanah lembab dari segi infrastruktur, biologi, ekologi dan sosioekonomi.
Setelah 25 tahun, sudah tentu pihak Putrajaya Wetland mempunyai pendekatan yang lebih baik. Kejuruteraan ekologi misalnya yang memfokuskan kepada penggunaan sumber tanah dan air, kualiti udara dan tanah, pengurusan penggunaan tanah, perkhidmatan ekosistem, pemulihan ekologi dan pengurusan sisa boleh membantu pengurusan tasik.
Usaha berterusan mengekalkan kualiti air kelas satu dan dua bukannya suatu yang mudah. Tambahan lagi menjaminkan kelestarian kepelbagaian biologi tanah lembab juga sangat mencabar.
Perubahan kualiti air akan memberikan kesan kepada hidupan yang membantu fungsi ekologi tasik dan kestabilan ekosistem seluruhnya.
Maklumat kajian populasi burung misalnya perlu berterusan dan peranan burung sangat penting bukan sahaja dalam ekologi tasik, tetapi juga pokok-pokok sekitar tasik disamping menjadi tarikan pelancong. Aktiviti Bird Race Putrajaya mungkin boleh dipopularkan dan menjadi acara tahunan seperti yang berlaku di tempat-tempat tumpuan ekopelancongan seperti Bukit Fraser, Taman Negara, Rompin, Panti dan Borneo Bird Race.-UTUSAN
PROFESOR Dr. Ahmad Ismail ialah Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC).










