Negara terbesar EU henti guna AstraZeneca - Utusan Malaysia

Negara terbesar EU henti guna AstraZeneca

BEBERAPA negara besar dalam Kesatuan Eropah (EU) berhenti menggunakan vaksin AstraZeneca. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Negara-negara terbesar dalam Kesatuan Eropah (EU) bertindak menghentikan penggunaan vaksin Covid-19 keluaran  AstraZeneca berikutan bimbang mengenai masalah darah beku.

Langkah itu dilakukan meskipun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan badan pengawal selia ubat-ubatan Eropah (EMA) menegaskan vaksin keluaran syarikat farmaseutikal itu selamat untuk digunakan.

Kedua-dua organisasi tersebut bakal mengadakan mesyuarat khas pada minggu ini selepas sejumlah besar negara mahu berhenti menggunakan vaksin tersebut sementara menunggu siasatan lanjut.  

Penangguhan baharu itu dilihat merupakan tamparan hebat kepada kempen vaksinasi global yang bakal mengakhiri pandemik yang sudah membunuh lebih 2.6 juta penduduk di seluruh dunia dan menjejaskan ekonomi global.   

Tiga negara terbesar EU itu adalah Jerman, Itali dan Perancis, kemudian diikuti oleh Sepanyol, Portugal, Slovenia, Sweden dan Latvia.

Beberapa negara lain yang turut mengambil pendekatan sama termasuk Indonesia, Venezuela, Belanda, Ireland, Norway,  Iceland, Austria dan Bulgaria.

WHO menggesa semua negara untuk terus menggunakan vaksin itu sambil menambah pihaknya sudah menjadualkan mesyuarat melibatkan para pakarnya untuk membincangkan mengenai keselamatan vaksin.   

“Kami tidak mahu rakyat menjadi panik dan buat masa ini kami menyarankan negara untuk terus melaksanakan program vaksinasi menggunakan AstraZeneca,” kata Ketua Saintis WHO, Soumya Swaminathan.

EMA pula menegaskan adalah lebih baik untuk mendapatkan suntikan vaksin berbanding tidak melakukannya.  

 United Kingdom (UK) sudah melaksanakan proses vaksinasi membabitkan lebih 11 juta dos vaksin AstraZeneca iaitu lebih banyak berbanding jumlah keseluruhan di negara EU, tanpa sebarang masalah. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN